April 19, 2024

Search
Close this search box.

Johor Bahru, 24 Apr. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sinar Haemodialysis Sdn. Bhd. telah menandatangani tiga Memorandum Perjanjian (MoA) untuk kerjasama dalam memperkasa Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah.

UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Ts Dr Mohd Hamdan Hj Ahmad manakala Sinar Hemodialysis diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBrs. Tuan Haji Mohd Amerudin Haji Kamaludin dan disaksikan oleh Prof. Dr Farahwahida Mohd Yusof selaku pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), UTM.

Majlis tersebut bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Universiti Teknologi Malaysia kampus Johor Bahru.

MoA tersebut merupakan susulan kepada kerjasama antara kedua-dua organisasi iaitu UTM dan SINAR di mana ia diharapkan untuk menjadi penggalak dan pendorong dalam meningkatkan kerjasama penyelidikan yang sedang berlangsung.

Objektif kerjasama strategik tersebut adalah untuk membangunkan dan mewujudkan kerjasama bagi melaksanakan aktiviti penyelidikan untuk memperkasakan Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai usaha mendokong dasar Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Kerjasama projek yang telah dipersetujui melibatkan tiga projek iaitu yang pertama ialah Pembangunan e-Buku (e-Book) Interaktif Motivasi Dan Doa Untuk Pesakit Dialisis Berasaskan Manhaj Ahlu Sunnah Wa Jamaah.

Projek kedua ialah pembangunan Prototaip E-Pembelajaran Fiqh Wuduk dan Solat Pesakit Dialisis Berasaskan Fiqh Mazhab Syafi’i Manhaj Ahlu Sunnah Wa Jamaah Negeri Johor manakala projek ketiga ialah Kajian Model Sinergi Dakwah Strategik Ke Arah Memperkasa Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah Di Negeri Johor.

Ketiga-tiga projek ini dibangunkan sebagai salah satu proses penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran untuk pesakit dialisis sewaktu rawatan dan berasaskan manhaj ahlu sunnah wal jamaah yang menjadi teras pentadbiran Agama Islam Negeri Johor.

Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Haemodialysis Sdn. Bhd, Tuan Haji Mohd Amerudin Haji Kamaludin dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts Dr Hamdan Hj Ahmad menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman (MoA) yang telah ditandatangani antara kedua belah pihak.
Prof Hamdan (kanan) dan Tn Hj Mohd Amerudin (kiri) menandatangani dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) diantara UTM dan Sinar Hemodialysis bagi membolehkan kerjasama strategik antara kedua belah pihak.

Explore More