April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kuala Lumpur, 27 April 2022 – Bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan masih berbaki beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut kedatangan Syawal meraikan kemenangan kita menahan diri dari pelbagai nafsu. Dikesempatan ini Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Persatuan Kakitangan Akademik (PKA) telah menjalankan program khidmat masyarakat iaitu ‘Kongsi Rezeki Asnaf’. Program ini dijalankan sinergi bersama UTM International Kuala Lumpur (UTMi), Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat UTM Kuala Lumpur (OSCAKL) dan RT Cares Parlimen Setiawangsa, KRT PPR Desa Rejang, Setapak Kuala Lumpur.

Program ‘Kongsi Rezeki Asnaf’ merupakan satu program khidmat masyarakat yang telah memanfaatkan 50 buah keluarga Asnaf yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), Warga Emas, Ibu Tunggal, Asnaf dan B40 Urban Poor di PPR Desa Rejang, Setapak. Keluarga ini telah menerima sumbangan pakej #KongsiRezeki yang bernilai RM150.00 yang terdiri daripada barangan keperluan asas, kuih raya termasuk barangan basah seperti ayam dan telur berjumlah 30 biji.

Program ini terbahagi kepada dua siri. Siri pertama telah dijalankan pada 22 April 2022 diketuai oleh Ketua Projek iaitu Prof. Madya Dr. Abd Rahman Abdul Rahim, bersama 11 orang sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah dibawah PKA, staf UTMiKL dan OSCAKL dan 5 orang pelajar antarabangsa dari Mesir, Iraq dan Indonesia.  Siri ke dua pula telah dijalankan baru-baru ini iaitu pada 27hb April 2022 di lokasi yang sama. 

Kempen bagi mengutip sumbangan telah dijalankan bermula 13 April 2022 dan berakhir pada 20 April 2022. Dalam tempoh seminggu, kutipan telah berjaya diraih hampir RM6,000.00 daripada warga UTM Kuala Lumpur, badan bukan Kerajan (NGO) dan orang perseorangan.

UTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah menyumbang dan menjayakan program ini.  Semoga sumbangan ini dapat membantu beban penerima sekaligus memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri seisi keluarga.  Semoga berjumpa lagi tahun hadapan.

Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Majlis Penyerahan sumbangan Kongsi Rezeki Asnaf Siri 1

Explore More