Disember 21, 2024

UTM – MIROS Jalin Kerjasama Akademia-Industri untuk Peningkatan Keselamatan Jalan Raya dan Kenderaan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (atau lebih dikenali sebagai MIROS) melalui pelaksanaan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang dilaksanakan di UTM Kuala Lumpur pada 17 Mac 2022.

Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail manakala MIROS diwakili oleh Ketua Pengarah, Dato’ Dr Khairil Anwar bin Abu Kassim. Majlis ini disaksikan oleh Pengerusi MIROS Prof. Dr. Wong Shaw Voon, serta pegawai-pegawai tinggi UTM dan MIROS yang lain.

Untuk makluman, UTM dan MIROS telah menjalinkan kerjasama sejak tahun 2008 lagi melalui pelbagai aktiviti.

Dengan kepakaran sedia ada di UTM dan MIROS, memorandum (MoU)persefahaman yang dimeterai ini akan terus memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti bermanfaat merangkumi pembangunan bakat holistik, upskilling & reskilling staf, pemerkasaan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi, serta meningkatkan jalinan hubungan strategik dengan rakan industri-kerajaan-komuniti dalam negara dan juga ASEAN terutamanya berkaitan dengan keselamatan jalan raya.

Usahasama ini akan diselaraskan oleh Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) selaku penyelaras kerjasama UTM x MIROS diketuai oleh Prof. Madya Ir Ts Dr Nurulakmar binti Abu Husain.

Hubungan di antara kedua-dua belah pihak adalah sejajar dengan intipati UTM enVision 2025 serta perubahan landskap pendidikan tinggi. Selain itu, perjanjian ini boleh menjadi titik tolak ke arah peningkatan tahap keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030 sepertimana saranan Sustainable Development Goals (SDG) 2030.

Komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti projek-projek atau intervensi-intervensi yang akan menyumbang kepada pembangunan keselamatan jalan raya, ekonomi, industri dan teknologi bukan sahaja bagi kepentingan kedua-dua pihak, UTM dan MIROS tetapi juga untuk negara Malaysia tercinta.

Diharapkan melalui jalinan kerjasama ini, UTM dan MIROS dapat bertukar kepakaran dan pengetahuan yang lebih meluas seterusnya dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua institusi di peringkat nasional mahupun global.

Disediakan oleh:
Prof. Madya Ir Ts Dr Nurulakmar Abu Husain
Profesor Madya
Malaysia-Japan International Institute of Technology
Universiti Teknologi Malaysia

Explore More