April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sembilan ‘Active Learning Classroom Sediakan Pengalaman Pembelajaran Berteknologi Tinggi kepada Pelajar

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membina sembilan buah ‘Active Learning Classroom’ atau Bilik Kuliah Pembelajaran Aktif bagi memberikan suasana pembelajaran berteknologi tinggi sebagai pengalaman pembelajaran yang menarik kepada pelajar.

Bilik kuliah pintar ini terletak di sembilan lokasi di sekitar UTM kampus Johor Bahru iaitu di Blok C-17 (Fakulti Sains), M-47 (Sekolah Kejuruteraan Awam), E07 (Sekolah Kejuruteraan Mekanikal), N01 (Sekolah Kejuruteraan Tenaga), C03 (Fakulti Alam Bina dan Ukur), P19A (Sekolah Kejuruteraan Elektrik), T08 (Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim), D06 (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) dan N28 (Sekolah Komputeran).

Ketua Bahagian Senibina, Jabatan Harta Bina (JHB), Shalan Talib berkata kapasiti maksimum yang dapat dimuatkan di kelas pintar ini adalah 60 orang pelajar bagi satu-satu masa.

“Bilik kuliah ini juga telah direnovasi dan mempunyai kemasan yang kemas dan menarik bagi menceriakan suasana pengajaran dan pembelajaran di UTM.

Selain mempunyai kemasan yang menarik, bilik ini juga dilengkapi dengan Teknologi Sistem Automasi Bangunan bagi mengawal lampu dan juga alat penghawa dingin yang digunakan,”katanya lagi.

Menurut Shalan lagi, lampu yang digunakan bilik kuliah ini adalah dari jenis pelbagai mod iaitu Mod Pengajaran dan Pembelajaran, Persembahan dan juga perbincangan.  Kepelbagaian mod ini hendaklah disesuaikan oleh pengguna bergantung kepada keadaan yang dikehendaki.

“Kita ingin perkenalkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, suasana pembelajaran yang lebih menarik serta kelesesaan kepada mahasiswa dan juga pensyarah UTM dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Pembinaan kelas ini juga adalah bertepatan dengan salah satu Strategik Keutamaan dalam pelan UTM EnVision 2025 iaitu Strategik No 6 yang merencanakan penyediaan pengalaman kampus lestari kepada mahasiswa, kakitangan dan juga komuniti sekeliling kampus universiti ini,” katanya lagi.

Ditanya berkenaan kebarangkalian untuk UTM membina kelas pintar ini sebagai tambahan kepada jumlah sedia ada, Shalan berkata yang kebarangkalian untuk membina tambahan itu sememangnya ada bergantung kepada peruntukan sedia ada.

“Kita sememangnya akan membina tambahan kelas jenis ini sekiranya ada lagi peruntukan yang diberikan oleh KPT.

“Kami di JHB sentiasa komited untuk menjayakan sebarang perancangan yang telah direncanakan oleh pengurusan tertinggi UTM dan akan sentiasa menambahbaik infrastruktur bergantung kepada peruntukan yang disediakan,” katanya lagi.

Projek pembinaan Bilik Kuliah Pembelajaran Aktif ini telah disiapkan dalam tempoh kira-kira 30 minggu (Mac 2021 hingga Januari 2022) dengan mengambil kira sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menurut beliau lagi, kelas pintar yang telah dibina tersebut menelan belanja sebanyak RM2.25 juta menggunakan peruntukan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas ( RMK-11) Rolling Plan 4.

Explore More