Pusat Islam Anjur Program 50 Qari 50 Jam Sempena Ulang Tahun ke-50 UTM

Pada 14 April 2022, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) dengan kerjasama Persatuan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) cawangan UTM telah menganjurkan Program 50 Qari 50 Jam.

Program bacaan ayat suci Al-Quran oleh 50 Qari selama 50 jam ini dilaksanakan selama tiga hari bermula daripada 14 hingga 16 April 2022 bersempena dengan ulangtahun ke-50 penubuhan universiti ini.

Pengarah Program, Muhammad Badrul Amin Abdul Rashid berkata, Qari yang dipilih terdiri daripada 10 staf, 15 pelajar antarabangsa dan 25 pelajar tempatan, hendaklah mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran secara terus-menerus dan bergilir mengikut giliran yang telah ditetapkan.

“Qari hanya akan berhenti membaca Quran pada waktu solat, sahur dan berbuka sahaja. Mereka dibahagikan kepada 5 orang dalam satu kumpulan dan perlulah menghabiskan tiga juzuk ketika mengalunkan pembacaan.”

“Terdapat 10 kumpulan yang akan mengalunkan bacaan dan jika didarabkan dengan tiga juzuk bagi setiap kumpulan, maka akan habislah sebanyak 30 juzuk,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) selepas menghadiri majlis perasmian 50 Qari 50 Jam yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail di Masjid Sultan Ismail, UTM kampus Johor Bahru.

Menurut Muhammad Badrul Amin lagi, matlamat utama penganjuran program ini adalah sebagai menyokong program Semarak Ramadan 2022 anjuran PIUTM disamping mengimarahkan masjid dengan program bacaan Al-Quran.

Muhammad Badrul berkata Program ini juga menerapkan elemen ISES iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan (Excellence) dan juga Kelestarian (Sustainability).

“Pecahan elemen ISES amatlah diterapkan dalam program ini. Para Qari seharusnya mempunyai sifat Integriti dan juga bersinergi, dimana mereka hendaklah bekerja secara berkumpulan untuk menghabiskan bacaan ini.

“Para pembaca juga seharusnya mempunyai kemahiran membaca serta berpengetahuan dalam aspek ilmu tajwid, iaitu pembacaan Quran dengan baik dan betul disamping menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu tiga hari,” katanya lagi.

Turut hadir ketika perasmian program adalah Pengarah PIUTM, Prof. Dr Arieff Salleh Rosman dan timbalannya, Dr. Mohd Nasir Masroom.