April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 11 April – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) telah mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menjayakan Program Semarak Ramadan 2022 sepertimana tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr Mohd Nasir Masroom berkata pelancaran Program Semarak Ramadan 2022 dan juga Tabung Dana Ramadan telah bermula seawal 3 Mac lagi.

“PIUTM telah menyusun pelbagai slot ceramah yang berlangsung setiap Khamis sepanjang bulan Syaban.

“Dalam bulan ramadan pula, kami menyediakan 1,200 pek makanan siap masak untuk diedarkan kepada mahasiswa yang menghuni 10 kolej kediaman UTM bagi dijadikan juadah berbuka puasa.  Kami juga mengedarkan bubur lambuk sebanyak dua kali seminggu dan semua ini dilaksanakan hasil sumbangan staf dan Pusat Tanggungjawap (PTJ) universiti,” katanya lagi.

Selain pengedaran makanan dan aktiviti kebajikan, MSI juga aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan kehadiran bulan mulia ini.

“Kami ada menganjurkan solat tarawikh pada setiap hari diketuai oleh para imam MSI dan juga mahasiswa Teknohafiz UTM di samping aktiviti Qiamullail pada setiap hujung minggu dan 10 malam terakhir ramadan (sahur disediakan).

MSI juga aktif menganjurkan ceramah dalam talian pada setiap Khamis yang disiarkan melalui Facebook Pusat Islam UTM dan juga program Tadarus Al-Quran setiap hari secara maya,” katanya lagi.

Menurut Dr Mohd Nasir lagi, bersempena dengan ulangtahun ke-50 UTM, MSI juga akan menganjurkan bacaan Al-Quran oleh 50 Qari selama 50 jam yang akan diadakan pada 14-16 April 2022.

“Kami anjurkan program ini sebagai memperingati penubuhan UTM 50 tahun yang lalu.  Perasmian program oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail akan berlangsung pada 14 April 2022 ini bertempat di Masjid Sultan Ismail, kampus Johor Bahru.

“MSI juga ada membuka permohonan bantuan khas Hari Raya untuk staf yang memerlukan supaya golongan ini tidak ketinggalan menyambut kehadiran bulan Syawal yang bakal menjelma kelak,” katanya lagi.

Edaran bubur lambuk dua kali seminggu kepada staf dan mahasiswa oleh Pusat Islam UTM
Edaran juadah berbuka puasa di 10 kolej kediaman mahasiswa UTM melibatkan 1,200 pek makanan siap masak kepada mahasiswa.

Explore More