April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Mac –  Hasil inovasi penyelidikan dan kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama 3D Gens Sdn Bhd telah membawa evolusi baharu dalam bidang penghasilan kaki palsu 3D.

Produk kaki palsu 3D ini dihasilkan melalui kombinasi teknologi imbasan, rekaan dan cetakan 3D yang dapat memberikan keselesaan pada harga mampu milik kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) jika dibandingkan dengan produk yang telah sedia ada di pasaran.

Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Ts Dr Muhammad Hanif Ramlee berkata hasil gabungan kepakaran dalam bidang cetakan 3D pihak industri 3D Gens serta kemahiran sekumpulan penyelidik UTM telah berjaya membangunkan produk yang ekonomik serta mesra pengguna.

“Inovasi kaki palsu cetakan 3D ini boleh digunakan oleh golongan OKU untuk menjalankan aktiviti harian seperti berjalan, duduk, bangun, menaiki tangga, menaiki tangga, menaiki kenderaan awam dan memandu kenderaan persendirian.

“Hasil kolaborasi antara UTM dan 3D Gens ini bukan sahaja menawarkan harga yang lebih muran kepada pengguna malah ia juga mampu memberikan keselesaan yang lebih kepada golongan OKU yang tiada kaki di paras bawah lutut yang disebabkan kemalangan ataupun kecacatan semulajadi,” katanya lagi.

Dr Muhammad Hanif berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kaki Palsu 3D kepada dua penerima OKU di Blok V01, Fakulti Kejuruteraan UTM kampus Johor Bahru.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Dr Ahmad Zahran Md Khudzairi yang menyerahkan dua buah kaki palsu 3D dan dua buah kaki palsu tradisional kepada dua penerima berbeza. Turut hadir adalah wakil 3D Gens Sdn Bhd, Dr Izhar Aziz.

Mengulas lanjut mengenai produk istimewa ini, Dr Muhammad Hanif berkata anggota prostetik ini telah dibangunkan oleh sekumpulan jurutera dari 3D Gens dengan kerjasama beberapa orang ahli akademik dan penyelidikan dari UTM.

“Penyelidik UTM yang terlibat adalah Ir. Ts Dr Asnida Abdul Wahad, Dr Aizreena Azaman, Dr Amir Putra Md Saad, Dr Norzaidahwati Zaidin manakala pelajar yang terlibat adalah Muhammad Hanif Baharuddin, Intan Liyana Rosli dan Mayloma Yusof.

Soket kaki palsu disediakan dalam pelbagai bentuk mengikut jenis kecacatan dan juga mengikut kehendak pengguna,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai proses pembuatan kaki palsu ini, Dr Muhammad Hanif berkata Imbasan 3D akan dilakkan terhadap OKU pada bahagian kecacatan tersebut tanpa sentuhan dan penggunaan bahan lain sepertimana yang digunakapakai dan kaedah konvensional.

“Setelah itu lukisan rekabentuk 3D dijalankan di makmal UTM disusuli pula dengan proses cetakan 3D di 3D Gens Sdn Bhd. 

“Selepas selesai pembuatan soket, kesemua bahagian akan disambungkan untuk menjadikan satu kaki palsu yang lengkap dan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada penerima, padanan terhadap kaki OKU serta latihan di makmal Motion Analysis akan dijalankan terlebih dahulu,” katanya.

Bagi setiap kaki palsu yang diterima, jangkat hayat dari segi ketahanan soket antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada rekabentuk dan cara penggunaan oleh penerima.

“Bahagian lain seperti pilon, adapter dan kaki mampu bertahan sehingga tujuh tahun. Soket cetakan 3D boleh ditukar mengikut kehendak, warna dan ketahanan tanpa perlu untuk menukar bahagian yang lain.

Projek ini bukan hanya sekadar projek penyelidikan tetapi juga adalah projek khidmat masyarakat atau Corporate Social Responsibility (CSR) yang mana boleh memberikan senyuman kepada golongan OKU yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan kaki palsu secara percuma,”katanya.

Menurut Dr Muhammad Hanif lagi, pihak UTM juga akan menubuhkan tabung ‘crowdfunding’ dalam masa terdekat bagi kelestarian projek dan juga memberikan manfaat kepada golongan OKU lain.

Dari kiri Ketua Projek, Dr Muhammad Hanif Ramlee, Pengerusi SKBSK, Dr Ahmad Zahran Mohd Khudzairi menyerahkan kaki palsu kepada salah seorang penerima.
Dr Ahmad Zaharan memberikan ucapan alu-aluan dalam majlis penyerahan kaki palsu yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan UTM.

Explore More