April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 15 April – Sebanyak empat aktiviti utama bakal dilaksanakan oleh Unit Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai aktiviti kebajikan di sepanjang bulan Ramadan 2022 dalam usaha menyuburkan budaya memberi dan membantu pihak yang memerlukan.

Program tersebut ialah Program UTM Kasih, bantuan pakaian dan kuih raya kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Ulu Tiram, Penyampaian Duit dan Kuih Raya pada Asnaf di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Bantuan Aidilfitri kepada Staf Kurang Berkemampuan.

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr Yusof Boon berkata unit itu akan terus melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan di dalam mahupun di luar kampus.

“Endowmen ditubuhkan untuk membantu mahasiswa dari keluarga B40 seterusnya diperluaskan kepada memberikan bantuan kepada komuniti di sekitar kampus universiti ini.

Kita akan terus memberikan fokus kepada memberikan bantuan kepada mahasiswa di samping membantu komuniti di sekitar UTM yang memerlukan bergantung kepada dana yang ada,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peranan Endowmen UTM dalam menjalankan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan 2022 ketika diwawancara oleh Seksyen Hal Ehwal Korporat (HEK).

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr Yusof Boon (kiri) menyertai sukarelawan UTM mengedar juadah bersahur kepada gelandangan di sekitar Johor Bahru.

Dr Yusof berkata Program UTM Kasih yang dijalankan pada 15 dan 24 April 2022 dijalankan secara sinergi dengan Jabatan Pendaftar, UTM Alumni dan juga dengan beberapa persatuan staf yang lain.

“Sebanyak 100 bungkus makanan telah diagihkan kepada golongan gelandangan di sekitar Bandaraya Johor Bahru untuk bersahur. 

“Bagi program pada 24 April ini pula, kami akan mengagihkan juadah berbuka puasa dan juga kuih raya kepada golongan sama,” katanya lagi.

Bantuan Pakaian dan Kuih Raya kepada penghuni RKK Mini pula telah pun mendapat penajaan penuh dari pihak tertentu yang tidak mahu namanya diumumkan.

Sukarelawan UTM bergerak secara kumpulan kecil untuk mengagihkan juadah bersahur kepada gelandangan di sekitar Johor Bahru.

“Penaja ini juga telah meminta UTM untuk menguruskan pembelian pakaian dan makanan yang ingin didermakan. Program yang dijalankan secara kerjasama ini akan dilaksanakan berhampiran dengan sambutan Aidilfitri supaya bantuan yang diberikan serba sedikit dapat menggembirakan penduduk di RKK Mini ini,” katanya lagi.

RKK Mini Ulu Tiram yang dibuka Jun 2015 mampu menempatkan sehingga 30 orang kanak-kanak adalah RKK Mini kedua yang diwujudkan di negara ini selepas Kelantan.

Pusat perlindungan ini diwujudkan bagi memberi pemeliharaan dan perlindungan gantian kepada kanak-kanak serta menggalakkan perkembangan fizikal, emosi dan mental secara sihat dalam suasana tenteram dan selamat.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang diterima masuk di RKK Mini adalah yang berumur 12 tahun ke bawah dengan perintah mahkamah di bawah Seksyen 19 dan 30 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Endowmen UTM juga tidak melupakan asnaf yang berada di kawasan sekitarnya dan dengan itu akan menyampaikan sumbangan kuih dan duit raya kepada penduduk B40 terpilih yang tingggal di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Data mengenai penduduk berkaitan telah kami perolehi dari Jawatankuasa Penduduk dan program ini dicadangkan dijalankan pada 27 April 2022.

“Kami juga akan memberikan bantuan kepada staf UTM yang kurang berkemampuan dalam bentuk kuih dan sedikit sumbangan berbentuk wang tunai. Data berkenaan dengan staf dalam kategori ini akan diberikan oleh Jabatan Pendaftar,” katanya lagi.

Dr Yusof juga menyeru kepada komuniti UTM untuk terus menyumbang kepada Tabungan Endowmen bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dijalankan.

“Jika saudara dan saudari menyumbang dengan lebih banyak maka akan lebih banyak aktiviti dapat dijalankan dengan lebih banyak orang kurang berkemampuan di dalam dan luar UTM akan dapat dibantu.

“Fokus bantuan adalah kepada mahasiswa UTM dari keluarga B40 tetapi jika ada lebihan dana, kami juga akan membantu komuniti luar universiti diatas dasar prihatin,” katanya lagi.

Seramai 34 orang sukarelawan UTM terbabit dengan Program UTM Kasih iaitu mengagihkan juadah bersahur kepada 100 orang gelandangan di sekitar bandaraya Johor Bahru.

Explore More