JOHOR BAHRU, 14 Mac — Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Ahmarhum Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Galeri UTM yang bertempat di lobi Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.
Perasmian tersebut adalah bersempena sambutan ulang tahun UTM ke-50 Tahun.
Antara ruang pameran yang menarik ialah koleksi simpanan peribadi Naib Canselor UTM yang pertama, Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid seperti baju melayu dan mesin taip beliau, ortofoto kampus dan Tiodolit: Alat Ukur Tanah & Aras.
Tiodolit merupakan alat ukur jarak dan aras adalah kegunaan jurutera. Ianya sesuai untuk kerja-kerja kejuruteraan dan pengukuran kerana ketepatan pengukurannya memenuhi keperluan jurutera dan ia mudah digunakan.
Selain itu terdapat fakta menarik tentang tanah asal kampus Johor Bahru yang berasal dari Ladang Lindent, koleksi gambar transisi kampus UTM, poster penceritaan kejayaan UTM serta poster menarik tentang alumni UTM.
Galeri UTM diwujudkan sejak tahun 2010, bertempat di ruang legar Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), UTM Johor Bahru yang ketika itu hanya dikenali sebagai ruang pameran korporat.
Tujuan asal penubuhan galeri ini adalah untuk memelihara nilai estetika keberadaan replika Loh Hijrah di lokasi tersebut, di samping berfungsi sebagai ruang pameran (secara konsep terbuka) untuk menyalurkan maklumat korporat universiti kepada para pengunjung, sama ada dari dalam atau luar UTM.
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-50 UTM, pihak pengurusan Universiti telah bersetuju meluluskan pelaksanaan pembangunan Galeri UTM kepada fasa yang lebih baik dalam memperkasakan pencapaian dan kecemerlangan universiti.
Ruang Galeri UTM juga telah dinaik taraf dari segi perwajahannya, malah menggabungkannya dengan fasiliti lain iaitu ruang jualan cenderahati , UTM Mart dan ruang istirahat yang lebih selesa iaitu University Lounge.