April 24, 2024

Search
Close this search box.

Kampung Tewowoh ialah kampung terakhir di Johor yang belum pernah mendapat tenaga elektrik. 

MERSING, 29 Mac. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) dengan kerjasama Bank Islam telah membawa ‘sinar’ kepada penduduk Kampung Orang Asli Tewowoh melalui Projek Pemasangan Solar PV & Penghad Tenaga untuk 19 rumah bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan penduduk di sini. 

Program tersebut merupakan insiatif khidmat masyarakat, CSR UTM bersama Bank Islam Malaysia Berhad yang merupakan penaja utama dalam projek teknologi ini melalui program Sadaqa House.

Kampung yang terdiri daripada 145 orang penduduk dengan kapasiti 19 buah rumah ini tidak pernah menikmati bekalan elektrik yang berterusan sejak ia dibina kerana lokasi kampung yang terletak jauh di pedalaman dan faktor geografi yang mencabar.

Menurut JAKOA, ianya merupakan kampung orang asli terakhir di Negeri Johor yang belum pernah mendapat apa-apa bantuan untuk tenaga elektrik. 

Penduduk kebiasaannya menggunakan penjana diesel berkapasiti kecil untuk kegunaan 4 jam dengan kos setiap 1 rumah RM10.00 atau bersamaan RM300.00 sebulan.

Atas keprihatinan terhadap permasalahan ini, UTM melalui ketua projek, Prof. Madya Ts. Dr. Jasrul Jamani bin Jamian telah mencadangkan kepada Bank Islam untuk membangunkan sistem tenaga elektrik elektrik solar untuk 19 rumah di kawasan ini.

“Menerusi tajaan Sadaqa House – Bank Islam, kumpulan UTM dengan kerjasama 5 rakan kerjasama yang lain iaitu ILP Kepala Batas, ILP Mersing, Politeknik PD, Politeknik Muadzam Shah dan Kolej Komuniti Segamat 2 telah berjaya memasang solar PV serta pendawaian baru bagi lampu, kipas dan pengecas telefon untuk kesemua rumah di kampung ini.

Selain itu, teknologi penghad tenaga turut digunakan bagi memastikan sistem ini dapat bertahan sekurang-kurangnya 5 hingga 20 tahun,” kata beliau.

Tambah beliau, bukan itu sahaja, pemindahan ilmu turut dibuat kepada penduduk agar mereka dapat melakukan aktiviti asas penyelenggaraan sekaligus dapat memastikan sistem yang dibangunkan bertahan lama.

“Penduduk menyatakan mereka tidak perlu lagi menghidupkan penjana petrol pada awal pagi dan dapat mengelakkan bunyi bising di awal pagi selepas penggunaan solar PV.

Selain itu, penjimatan dari pembelian petrol membantu menaikkan sedikit pendapatan bulanan mereka”.

Selain melaksanakan projek ini, UTM turut mengadakan aktiviti bersama penduduk seperti pemeriksaan kesihatan dan gigi, sukaneka dan gotong royong. 

“Diharap, melalui projek CSR UTM-Bank Islam ini dapat memberikan kegembiraan kepada mereka sempena Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi,” kata beliau lagi.

Explore More