April 20, 2024

Search
Close this search box.

Webinar Persediaan Temuduga Program Pendidikan: Ruang dan Peluang Kerjaya Graduan Pendidikan

Oleh: Najua Syuhada Ahmad Alhassora, Mohd Rustam Mohd Rameli, Mohd Rasidi Pairan, Nur Hazirah Noh@Seth, Chuzairy Hanri

Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Persediaan Temuduga Program Pendidikan. Program ini merupakan insiatif Sekolah Pendidikan untuk mendedahkan graduan dan pelajar berkenaan peluang kerjaya yang boleh dimohon melalui platform Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mahupun Agensi MARA.

     

Gambar 1: Poster Program

         Program ini dimulakan dengan ucapan aluan Prof. Dr. Fatin Aliah Phang (Pengerusi, Sekolah Pendidikan). Turut hadir adalah Prof. Madya. Dr. Azlina Mohd Kosnin (Timbalan Dekan, Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Dr Hasnah Mohamed (Pengarah, JPPSMK) dan Prof. Madya. Dr. Aede Hatib Musta’amal (Pengarah, TVET). Seramai 78 orang peserta yang terdiri daripada graduan dan pelajar aktif Sekolah Pendidikan telah hadir menyertai program tersebut.

            Perkongsian pertama adalah daripada Dr. Mohd Radzi bin Taib, Ketua Penolong Pengarah , Bahagian Pendidikan Menengah Mara, yang mempunyai pengalaman selama 28 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.Beliau telah berkongsi mengenai topik membina kerjaya, kaedah permohonan dan cara pelaksanaan pemilihan guru di MARA, syarat permohonan di MARA dan bidang subjek yang diberi keutamaan. Beliau juga turut memperincikan berkenaan permohonan guru di MARA secara berperingkat yang bermula dari permohonan dalam taliah sehinggalah ujian penilaian terakhir di MARA Assesment Center.

Gambar 2: Sesi Perkongsian bersama Dr. Mohd Radzi Taib

Slot perkongsian kedua pula disampaikan oleh En. Fadhli Ahmad bin Ismail yang merupakan Setiausaha, Bahagian Pengambilan, SPP. Antara pengalaman beliau adalah menguruskan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dan Anggota Kumpulan Pelaksana yang merangkumi proses tapisan, temuduga dan pelantikan. Beliau telah berkongsikan berkenaan:

  1. Kaedah temuduga adalah melalui bersemuka yang dilaksanakan secara berkumpulan atau secara maya yang juga dilaksanakan secara berkumpulan. Rakaman video juga mungkin diperlukan bagi proses temuduga.
  2. Bagi proses temuduga yang dilaksanakan secara bersemuka, seramai 35-40 orang calon akan ditemuduga dalam masa sehari. Sementara itu, proses temuduga secara dalam talian pula akan melibatkan 20-25 orang calon setiap hari. Keperluan rakaman video pula tertakluk kepada keupayaan panel.
  3. Setiap sesi temuduga yang dilaksanakan secara berkumpulan akan mengambil masa sekitar 30-45 minit.
Gambar 3: Sesi Perkongsian bersama En. Fadli Ahmad Ismail

Akhir sekali, sesi perkongsian pengalaman menghadapi temuduga disampaikan oleh tiga orang alumni Sekolah Pendidikan yang telah berjaya melepasi sesi temuduga iaitu En Syed Ahmad Huzaimi Syed Mazlan, En. Abdul Zahin Aman dan Cik Razieqa Aina Abdullah. Dua daripadanya sedang menunggu penempatan, manakala En Abdul Zahin telah bertugas sebagai guru di Negeri Sembilan. Antara tip penting yang dikongsikan oleh panel alumni adalah, calon perlulah:

  1. Ambil tahu hal isu semasa yang berkaitan pendidikan.
  2. Sertai telegram atau mana-mana sosial berkaitan dengan pengambilan dan proses temuduga.
  3. Memberi respon yang jelas dan baik semasa sesi soal jawab.
  4. Memastikan pakaian dan diri sentiasa kemas.
  5. Bersedia dengan sesi micro teaching.
  6. Mempunyai sifat tolak ansur serta tidak terlalu dominan semasa sesi temuduga dalam kumpulan.
  7. Menunjukkan tahap keyakinan yang optimum.
  8. Mendengar dengan teliti terhadap soalan yang dikemukakan oleh panel temuduga.
Gambar 4: Peserta Program

Pelaksanaan program ini telah mendapat respon yang sangat baik oleh peserta. Perkongsian yang diberikan membuka minda peserta untuk lebih meneroka peluang-peluang kerjaya khususnya dalam bidang pendidikan yang bukan ditawarkan oleh pihak KPM semata-mata.

Explore More