Disember 24, 2024

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) UTM Semasa Pandemik

KENYATAAN RASMI

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar universiti kembali ke kampus secara fizikal dan berperingkat menjelang Mac ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Ke-12 dan pengumuman oleh YB Menteri Kanan Pertahanan.

UTM sentiasa mengutamakan kelangsungan pendidikan pelajar serta menitikberatkan kualiti akademik dalam menghasilkan graduan yang terbaik. 

Justeru, universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kebajikan serta keperluan akademik pelajar terjaga agar kualiti pendidikan tidak terjejas sungguhpun pelajar tidak berada di kampus.

UTM telah memperkenalkan Kaedah Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Pandemik melalui Pekeliling Akademik Bil. 01/2022 bertarikh 24 Januari 2022. Intipati kepada kaedah pelaksanaan PdP tersebut adalah seperti berikut :-

  1. Kursus yang tidak memerlukan aktiviti makmal/praktikal/hands-on dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian. 
  2. Kursus yang memerlukan aktiviti makmal/praktikal/hands-on/khemah ukur/studio boleh dilaksanakan secara dalam talian/bersemuka tertakluk kepada kelulusan semasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 
  3. Penyelidikan di makmal bagi program prasiswazah (Projek Tahun Akhir) boleh dilaksanakan secara bersemuka. 
  4. Penyelidikan di makmal bagi program pascasiswazah dilaksanakan secara bersemuka. 
  5. Penyeliaan bagi Projek Tahun Akhir, pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah diteruskan secara dalam talian. 
  6. Latihan Industri bagi pelajar adalah mengikut ketetapan tempat Latihan Industri. 

Bagi kemasukan pelajar ke kampus, UTM mengambil maklum tentang keperluan keberadaan pelajar di kampus dan telah mengatur persediaan yang diperlukan dalam persediaan menerima pelajar kembali ke kampus.

Antara persediaan adalah memastikan kategori pelajar yang berkeperluan sahaja dibenarkan masuk ke kampus, kawalan keselamatan dan SOP diperketatkan dan prosedur kemasukan ke kampus juga ditambahbaik.

Segala persediaan adalah amat dititikberatkan bagi memastikan kebajikan pelajar adalah terjamin dan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19. 

Justeru bagi pergerakan masuk pelajar ke kampus adalah seperti berikut :- 

  1. Pelajar boleh mengetahui kaedah PdP bagi setiap kursus yang diambil bagi setiap semester melalui portal MyUTM masing-masing. 
  2. Pelajar boleh merancang masuk ke kampus melalui ketetapan dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). 
  3. Kategori pelajar yang diberi keutamaan untuk kembali ke kampus adalah seperti berikut:- 
  1. Pelajar yang menjalani Latihan Industri di UTM. 
  2. Pelajar yang mempunyai keperluan masuk kampus dengan ketetapan KPT yang memerlukan pertemuan fizikal (contoh: menduduki peperiksaan badan professional, projek tahun akhir di makmal). 
  3. Pelajar yang berstatus Tidak Selesai (TS) 
  4. Pelajar program penyelidikan Pasca Siswazah. 
  5. Pelajar Kemasukan Semester I Sesi 2020/21 (dicadangkan kemasukan secara berperingkat mengikut Fakulti). 
  6. Pelajar Kemasukan Semester I Sesi 2021/22 (dicadangkan kemasukan secara berperingkat mengikut Fakulti). 
  7. Pelajar terjejas yang memerlukan ruang pembelajaran kondusif. 

Sehingga hari ini, pihak universiti kekal menggunapakai Kaedah Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Pandemik melalui Pekeliling Akademik Bil. 01/2022 bertarikh 24 Januari 2022 dan tertakluk dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pelajar juga adalah disarankan untuk sentiasa berhubung dengan para pensyarah, penasihat akademik atau staf pentadbiran di Sekolah dan Fakulti bagi mendapatkan maklumat dan nasihat yang tepat untuk kelangsungan PdP.

Akhir kata, UTM melalui Emergency Response Team (ERT) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan membuat pemantauan secara harian bagi memastikan SOP dipatuhi oleh warga universiti bagi mengekang penularan COVID-19 di dalam kampus.

Seksyen Hal Ehwal Korporat 

Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat

Universiti Teknologi Malaysia

11 Februari 2022

Explore More