April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM – Yayasan KRU – KRU Entertainment Perkasa Kerjasama Dan Jaringan Universiti-Industri Melalui Pemeteraian MoU

Kuala Lumpur, 6 Jan 2022 – Kerjasama strategik universiti-industri sekali lagi tercapai apabila sebuah majlis menandatangani dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUE) dan Yayasan KRU (YKRU) dilangsungkan di UTM Kuala Lumpur hari ini. Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail manakala KRUE dan YKRU diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat KRU, Dato’ Norman Abdul Halim.

Usahasama UTM x KRU ini merupakan satu model pendidikan moden yang mentakrifkan kerjasama akademia-industri sejajar dengan perubahan landskap pendidikan tinggi. Kerjasama UTM bersama YKRU dan KRUE bermula sejak tahun 2020 melalui program CEO@Faculty Programme yang telah disertai oleh Pensyarah Kanan UTM, Ts. Dr. Rozzeta Dolah dengan penempatan selama enam bulan di KRU Group of Companies. CEO@Faculty Programme – Learn from the Pros ialah inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai platform bakat kepimpinan dengan menempatkan pensyarah universiti di beberapa syarikat dari pelbagai industri selama enam bulan bersama Ketua Eksekutif (CEO) syarikat.

Sebagai kesinambungan program ini, pelbagai aktiviti telah diteruskan sebagai jalinan kerjasama antara UTM dengan YKRU dan KRUE. Untuk memudahkan urusan kedua-dua belah pihak, maka MoU telah dipersetujui untuk dimeterai antara UTM dengan YKRU dan KRUE sebagai bukti kolaborasi antara universiti dan industri dalam sebarang aktiviti yang akan dijalankan. Hubungan UTM dengan YKRU dan KRUE dikategorikan sebagai Rakan Kongsi Kerjasama (Collaborative Partner) yang mana tiada sebarangan hubungan kerjasama diwujudkan sebelum termeterainya perjanjian ini. Presiden Yayasan KRU iaitu Dato’ Norman Abdul Halim telah bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman bersama UTM ini sebagai pemudah cara pelbagai aktiviti yang akan dilakukan di antara kedua-dua pihak.

Melalui MoU tersebut, UTM akan mempromosikan program latihan “up-skilling” dan “re-skilling” YKRU, program pembiayaan biasiswa dan pembangunan usahawan kepada pelajar dan alumni sarjana serta pascasiswazah UTM. UTM dan KRUE akan bekerjasama dalam mempromosikan forum industri kreatif dan ekonomi digital KRUE kepada staf, pelajar dan alumni UTM dari semasa ke semasa, manakala KRUE akan membantu untuk mengkomersialkan produk UTM terutama bagi tujuan penjualan dan pengedaran penerbitan UTM dalam format fizikal dan digital. UTM akan turut serta mempromosikan platform eCommerce KRU, yang tidak terhad kepada platform iLike dan Bukoo kepada kakitangan, pelajar dan alumni UTM sebagai sebahagian daripada inisiatif pengembangan usahawan dan pengkomersialan produk KRUE.

YBhg. Prof Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi menandatangani dokumen perjanjian
YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim menandatangani dokumen perjanjian

Bagi pihak YKRU, melalui perjanjian ini akan dapat membantu mempromosikan program UTM kepada penerima biasiswa YKRU (selain daripada alumni dari UTM) supaya ia dapat menarik lebih ramai pelajar mengenali UTM. Selain itu, YKRU menjemput alumni UTM untuk mempromosikan harta intelek asli mereka dalam bentuk kandungan kreatif kepada panel pelabur dan mentor perniagaan YKRU untuk mendapatkan modal dalam pelbagai peringkat pembiayaan yang diperlukan untuk pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan projek kandungan kreatif di bawah Program Contentpreneur YKRU.

Melalui MoU ini juga akan memberi peluang kepada staf, pelajar, dan alumni UTM menjadi peniaga dan pemengaruh e-Commerce KRUE., memberi peluang praktikal dan pekerjaan kepada yang layak selain program sangkutan industri kepada staf UTM. KRUE akan turut menyokong platform UTM iaitu makmal sistem pendidikan Massive Open Online Courses (MOOCS) dan Smart Classroom untuk program yang berkaitan dengan industri kreatif dan ekonomi digital melalui anak syarikatnya, KRU Academy Sdn Bhd.

Sempena MoU tersebut juga sebuah forum dalam talian menampilkan Dato’ Norman Abdul Halim dan Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail sebagai ahli panel.Forum yang bertajuk “Mendepani Era Digitalisasi Pasca COVID-19: UTM x KRU” tersebut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM.

Majlis menandatangani MoU UTM dengan KRUE dan YKRU
Farum menampilkan YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi dan YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim sebagai ahli panel

Disediakan oleh:

Ts. Dr. Rozzeta Dolah & Ts. Dr. Nelidya Md. Yusoff

Universiti Teknologi Malaysia

Kuala Lumpur6 Januari 2022

Explore More