Tangani Masalah Banjir melalui Kaedah Perancang Bandaran – Pakar UTM

Banjir Malaysia 2021/2022 yang berlaku pada 16 Disember 2022 yang lepas telah mengakibatkan seramai 52 orang telah kehilangan nyawa dan 71,000 orang telah kehilangan nyawa secara keseluruhannya.

Ramai pihak yang terkesan akibat dari bencana ini terutamanya kehilangan tempat tinggal dan juga kerosakan harta benda yang serius.

Prihatin dengan perkara ini, wartawan Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) telah menemuramah Pensyarah Kanan dari Sekolah Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nadzirah Hosen.

Dr Nadzirah Hosen.

Memulakan bicara intelektual ini, Dr Nadzirah berkata semua pihak harus faham bahawa proses pembangunan itu sendiri yang menjadi punca banjir.

Alam semulajadi ciptaan yang Maha Esa sememangnya cukup istimewa dengan pelbagai fungsi telah dicipta.  Tidak dapat disangkal lagi keupayaan tanah untuk menyerap air dan juga sungai untuk menampung air hujan yang turun di muka bumi.

Tindakan manusia yang mencipta ‘hutan batu’ dan juga mendirikan penempatan berhampiran sungai sekaligus mengusik ekologi semulajadi sungai berkenaan sebenarnya mengundang bencana banjir yang memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.

Apabila ‘hutan batu’ didirikan, tanah lapang digantikan dengan turapan konkrit dan juga tar bagi binaan jalan raya dimana bahan buatan manusia ini tiada kemampuan untuk menyerap air.

Lebihan air ini akan mengalir ke sungai yang telah diganggu ekologinya.  Secara semulajadinya apabila hujan turun akan terdapat lebihan limpahan air dan kawasan sekitar tebing sungai akan membesar akibat limpahan air ini. 

Ekoran itu, sebarang penempatan yang dibina berhampiran dengan tebing sungai akan terjejas dengan teruknya jika terdapat limpahan air yang banyak.

Bagaimana Perancangan Bandar dapat membantu mengelakkan banjir

Perancangan Bandar dan Wilayah (perancangan pekan, bandar, dan perbandaran) adalah proses politik dan teknikal berkaitan dengan kawalan penggunaan tanah dan reka bentuk persekitaran bandar, termasuk jaringan pengangkutan bagi memandu dan memastikan pembangunan terancang petempatan dan masyarakat.

Ia berkait dengan penyelidikan dan analisa, pemikiran strategik, seni bina, reka bentuk bandar, perbincangan dengan awam, cadangan polisi, perlaksanaan, pentadbiran dan tidak terkecuali Program Tebatan Banjir.

Seorang perancang bandar yang baik boleh sahaja mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk mengekalkan kawasan hutan di tengah bandar (hutan bandar yang lengkap dengan ekologi alam semulajadi) bagi membantu menyerap lebihan air hujan yang turun.

Perancang Bandar juga boleh memberikan cadangan kepada kerajaan negeri/pusat supaya mewujudkan rizab kawasan tebing sungai iaitu penwujudan zon larangan pembinaan sebarang penempatan manusia dalam jarak 500 hingga 1000 meter dari tebing sungai.

Bagaimana banjir dapat dielakkan jika perancang bandar dilakukan dengan sempurna

Dalam konteks pengurusan banjir, perancang bandar perlu mengenalpasti zon banjir seperti lembangan sungai, kawasan pantai dan kawasan-kawasan banjir kilat. Setiap zon banjir perlu dianalisis terutama berkaitan potensi kerosakan disebabkan bencana banjir semasa atau yang akan datang.

Hasil daripada analisis ini ialah Peta Risiko Banjir (Flood Risk Map) yang perlu diambil kira dalam pelan tindakan tempatan atau wilayah berasaskan langkah-langkah pencegahan, perlindungan dan kesiapsiagaan. Pelan-pelan pengurusan ini akan mengambilkira semua fasa dalam kitaran pengurusan risiko banjir (flood risk management cycle), dengan memfokuskan pada pencegahan kerosakan dengan mengelakkan pembinaan rumah dan industri di kawasan berisiko dinaiki banjir (flood prone areas) atau menyesuaikan pembangunan masa akan datang.

Pelan ini boleh dirangka dengan kerjasama pelbagai agensi terutamanya pihak PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi serta agensi pelaksana seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan juga pelbagai agensi berkaitan.

Malaysia boleh mempelajari dari negara Jepun yang sering dilanda bencana serta mempunyai Pelan Pengurusan Risiko (Risk Management Plan) tersendiri khusus tentang cara menangani dan menghadapi banjir serta bencana lain.

Pada masa ini hampir tiada rancangan pembangunan yang mengambilkira pelan pengurusan risiko banjir di peringkat tempatan. Begitu juga di dalam manual garis panduan dan piawaian perancangan yang tidak mengambil kira atau menekankan aspek bencana banjir.

Satu usaha yang serius perlu diambil untuk melihat semula rancangan pembangunan dan garis panduan yang telah dirangka sebelum ini terutamanya yang melibatkan pengwujudan kawasan penempatan manusia.

Kawasan yang belum dibangunkan dan telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko banjir mungkin dapat diusulkan agar tidak dilakukan sebarang pembangunan di kawasan itu tetapi bagaimanakah pula kepada kawasan yang telah pun diduduki dan dibangunkan

Salah satu solusi teknikal dalam mengurus bencana banjir ini adalah melalui pembinaan projek Tebatan Banjir yang merangkumi pembinaan terowong, terusan dan juga kolam takungan. Pembinaan projek tebatan banjir ini boleh dibina mengikut kesesuaian geografi sesuatu tapak itu sungguhpun kawasan itu telah diduduki.

Seterusnya adalah dari segi kesiapsiagaan komuniti yang menetap berhampiran kawasan berisiko banjir dengan memberikan pendedahan tentang lokasi petempatan yang berada di dalam zon banjir, perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika amaran banjir diberikan, penyediaan pelan pemindahan (evacuation plan) bagi keseluruhan kawasan yang berisiko dan memperkasakan komuniti dalam menghadapi risiko banjir.

Antara yang paling utama juga adalah perlunya kerjasama Pihak berkuasa seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi lain yang berkaitan dalam pengurusan risiko banjir ini. Setiap PBT di Malaysia ini mempunyai Jabatan Perancang Bandarnya sendiri dan seharusnya mereka lebih efekfif dalam soal ini.

Perancang bandar boleh membuat unjuran pembangunan dengan mengambilkira aspek pertambahan penduduk, densiti kawasan dan maklumat-maklumat lain yang dapat membantu dalam merangka pelan pengurusan risiko banjir.

Apakah transformasi yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib dari aspek teknikal perancang bandar khusus bagi menangani masalah banjir ini

Proses transformasi ini boleh dimulakan dengan inisiatif untuk perubahan minda terlebih dahulu. Pihak berwajib tidak boleh lagi mengamalkan ‘business-as-usual’ tetapi harus mengambil kira perubahan iklim global seperti pemanasan global yang mengakibatkan kiub ais di Kutub Utara mencair dan ada peningkatan paras laut serta kebarangkalian untuk berlaku banjir besar di masa hadapan.

Jika fenomena ini diambil kira maka terdapat keperluan untuk merekabentuk bandar yang lebih bersifat daya tahan (resilient) terhadap perubahan iklim yang tentunya jauh bezanya dari apa yang telah ada pada masa ini.

Untuk mewujudkan bandar yang berdaya tahan ini, perancang bandar perlu mengambilkira aspek bencana dalam setiap tahap perancangan pembangunan, sama ada di peringkat nasional sehingga ke peringkat tempatan.

PBT boleh menyertai proses transformasi ini dengan memperketatkan proses kelulusan untuk sebarang permohonan dari pemaju untuk membina kawasan perumahan di kawasan berisiko banjir. Garis panduan perancangan perlu ditambah baik dengan mengambil kira reka bentuk kediaman/industri yang bersesuaian di kawasan-kawasan berisiko banjir.

Sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk pembinaan rumah mampu biaya seperti yang dilaksanakan di negeri Johor, maka kawasan yang dibangunkan perlu dinilai dan sekiranya di kawasan berisiko banjir perlu dibina projek Tebatan Banjir terlebih dahulu sebelum sebarang projek perumahan dibangunkan di situ.

Pihak kerajaan juga boleh mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur pada peringkat nasional dan juga negeri yang dianggotai oleh ahli-ahli profesional seperti Perancang Bandar, Jurutera, Juru Ukur Tanah dan Bahan, Arkitek bagi mengenalpasti kaedah terbaik dalam menangani banjir ini.

Selain itu, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan-kawasan hijau termasuk kawasan lapang, taman-taman bandar, dan hutan simpan perlu diketengahkan di dalam pelan-pelan pembangunan ini sebagai nature-based solution bukan sahaja untuk menghadapi bencana banjir tetapi juga bencana lain.

Apakah elemen-elemen penting yang perlu dipertimbangkan dalam aspek perancangan bandar dan wilayah bagi mengelakkan masalah banjir ini berulang

Perancang Bandar yang baik perlu kepada pembuatan unjuran untuk jangka panjang berkenaan dengan pembangunan di sesebuah negeri/daerah/mukim itu. Di mana unjuran ini perlu bagi merangka Pelan Pengurusan Bencana (Disaster Management Plan) yang efektif dan konsisten bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan efisyen sekiranya terdapat sebarang bencana yang melanda.

Salah satu langkah yang boleh diambilkira adalah di mana setiap projek yang diluluskan mestilah didatangkan dengan pakej keselamatan seperti projek Tebatan Banjir dan juga Sistem Amaran Bencana (Disaster Warning System) di samping Latihan Selamat Diri (Self Safety Training) yang dikendalikan oleh Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) secara berkala di kalangan penduduk setempat.

Seterusnya adalah kerjasama pihak berkepentingan dalam sesuatu pembangunan. Sama ada di peringkat pembuat dasar, Pihak Berkuasa Perancang Tempatan, pemaju dan masyarakat.

Pihak-pihak ini perlu memahami peranan masing-masing dalam mengelakkan masalah banjir ini berulang. Pihak pembuat dasar perlu mewujudkan dasar yang mengambilkira aspek-aspek bencana banjir dalam pembuatan dasar.

Pihak Berkuasa Perancang Tempatan pula perlu memastikan dasar yang dibentuk diterjemahkan ke dalam pelan-pelan pembangunan, seterusnya memastikan bahawa pelan ini dilaksanakan di peringkat tempatan.

Selain itu, pemaju perlu memastikan mereka mematuhi piawaian perancangan yang telah dibentuk berbanding hanya memastikan keuntungan semata-mata. Masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko banjir pula perlu memberikan kerjasama dalam strategi pengurusan risiko banjir oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Apakah yang dapat disumbangkan oleh UTM dalam menjayakan agenda Perancangan Bandar dan Wilayah yang lebih holistik dan menyeluruh

Sebagai sebuah universiti awam (UA) yang berstatus Universiti Penyelidikan (RU), UTM boleh memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda ini melalui sumbangan dalam bentuk dapatan maklumat melalui aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Kerjasama strategik yang utuh juga mungkin boleh dijalin bersama dengan agensi seperti PLANMalaysia, PBT dan juga KPKT dalam memberikan data terkini kepada UTM bagi dianalisis dan seterusnya dibincangkan secara bersama di peringkat tertinggi.

Kaedah Perancangan Bandar dan Wilayah adalah cara terbaik bagi menangani masalah banjir disebabkan Perancang Bandar dapat mengenalpasti kawasan berisiko untuk dinaiki air banjir sewaktu musim hujan – Gambar Hiasan