Skim Perlindungan Pelajar UTM Lindungi Kebajikan Waris Pelajar Yang Meninggal

JOHOR BAHRU, 11 Jan –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak lagi menggunakan khidmat syarikat insuran swasta dalam menguruskan perlindungan untuk mahasiswanya sebaliknya mengurus sendiri tabung dana perlindungan tersebut.

Tabung perlindungan yang dinamakan Skim Perlindungan Pelajar ini telah ditubuhkan bagi memudahkan UTM membuat bayaran pampasan kepada keluarga mahasiswa berkenaan sekiranya terdapat sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar dalam tempoh pengajiannya di UTM tanpa sebarang karenah birokrasi.

Penolong Pendaftar Kanan, Unit Penajaan, Kebajikan dan Sahsiah Mahasiswa, Bahagian Kemudahan, Kebajikan dan Tatatertib Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP), Nor Sita Zakirai@Zakaria berkata Skim Perlindungan Pelajar ini telah pun digunakan dengan jayanya sejak dua tahun lalu.

“Dana untuk Skim Perlindungan Pelajar ini diperolehi hasil caruman yang dipotong daripada Yuran Perkhidmatan Pelajar pada setiap semester.

Potongan ini dilakukan pada setiap seorang pelajar dan diurus sendiri oleh JTNCHEP bagi tujuan memudahkan kami membayar pampasan kepada mahasiswa yang ditimpa kecelakaan,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri majlis penyampaian bayaran pampasan kematian kepada Anjalay Kartiyani A/P Sathiamoorthy, adik kepada mendiang Karthik A/L Sathiamoorhty, pelajar Sarjana Falsafah Pembangunan Sumber Manusia yang meninggal dunia pada 14 November 2021 lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) akibat kanser darah.

Penyampaian Skim Perlindungan Pelajar itu telah disempurnakan oleh TNCHEP, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dalam majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat TNCHEP, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Antara manfaat yang diperolehi di bawah Skim Perlindungan Pelajar kelolaan UTM ini adalah Faedah Kematian Biasa (RM8,000.00), Kematian akibat Kemalangan (RM10,000.00), Keilatan kekal akibat Penyakit dan Kemalangan (maksimum RM8,000.00 akibat penyakit dan RM10,000.00 akibat kemalangan).

“Mahasiswa juga layak menerima Elaun Harian Hospital (Kes Kemalangan Sahaja) bagi tempoh 30 hari terhad kepada penerima rawatan di Hospital Kerajaan sahaja dan juga Perbelanjaan Perubatan Hospital Kerajaan sebanyak RM6,000.00 setahun di bawah Skim Kesihatan Pelajar Pusat Kesihatan Universiti (PKU) terhad kepada pelajar tempatan sahaja.

“Waris pelajar juga layak menerima Wang Perbelanjaan Pengebumian (Kematian biasa dan kematian akibat kemalangan) berjumlah RM1,000.00 serta Perbelanjaan Penghantaran Pulang Jenazah Pelajar (Kematian Biasa Sahaja) sebanyak RM2,000.00,” katanya lagi.

Menurut Nor Sita lagi, waris pelajar yang meninggal dunia bagi kes kematian biasa dan kematian akibat kemalangan juga layak menerima RM500.00 yang dibayar berasingan dari faedah yang disebutkan diatas.

“Bagi mahasiswa yang mengalami patah atau retak tulang akibat kecederaan kemalangan atau semasa bersukan adalah mengikut kadar sedia ada iaitu minimum RM50.00 hingga RM200.00,” katanya lagi.

Anjalay Kartiyanti (kiri) menerima sumbangan khairat kematian mendiang abangnya, Karthik A/L Sathiamoorhty dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin. Karthik pelajar Sarjana Pembangunan Sumber Manusia meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAJB sewaktu menerima rawatan penyakit kanser darah yang dihidapinya pada 14 November 2021 yang lalu.