Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 2 Jan –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melantik Y.Brs. Nor Azizah Ismail sebagai Pendaftar baharu berkuat kuasa 2 Januari 2022 bagi menggantikan mantan Pendaftar, Y.Brs. Abdul Razib Hj Shahuddin.

Nor Azizah sebelum ini merupakan Timbalan Pendaftar Kanan mengetuai Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UTM.

Nor Azizah Ismail

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail mewakili seluruh warga UTM mengucapkan tahniah kepada Nor Azizah atas pelantikan tersebut.

“Saya amat yakin dengan pengalamannya yang luas dalam bidang pentadbiran mampu membawa lebih sinergi dalam lapangan urus tadbir universiti ini,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Watikah dan Penyerahan Nota Serah Tugas Pendaftar UTM yang berlangsung di Dewan Senat petang tadi.

Majlis yang berlangsung menyaksikan Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pendaftar baharu serta simbolik penyerahan Nota Serah Tugas oleh mantan Pendaftar kepada beliau.

Dalam majlis yang sama, Prof Datuk Fauzi merakamkan penghargaan kepada Abdul Razib atas segala pengorbanan, jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang memegang jawatan itu dari 2019 hingga kini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sumbang bakti Abdul Razib yang memegang jawatan Pendaftar di kala universiti mengalami dugaan hebat iaitu pandemik Covid-19 di mana perubahan dari segi proses kerja yang memberi impak besar terhadap perkhidmatan setiap warga UTM.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail (kanan) menyerahkan ‘frame’ potret kepada Abdul Razib Hj Shahuddin sebagai cenderamata tanda penghargaan.

Pelantikan Nor Azizah sebagai Pendaftar UTM berkuat kuasa pada 2 Januari 2022 ini bagi menggantikan Abdul Razib yang tamat tempoh perkhidmatannya pada tarikh yang sama.

Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 14, Perlembagaan UTM yang menyentuh berkaitan pelantikan jawatan utama universiti seperti Pendaftar, Bendahari, Ketua Pustakawan dan Penasihat Undang-Undang Universiti.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali serta ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti termasuk Bendahari UTM, Abu Bakar Mohd Salleh, Ketua Pustakawan UTM, Nor Asikin Mohamad dan Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Ts Dr Dayana Farzeeha Ali.

Explore More