April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR, 7 Jan. – Seramai 88 orang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam (UA) bagi Zon Selatan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam sebuah majlis gilang gemilang bertempat di Dewan Sultan Iskandar (DSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 49 orang ialah Pegawai Kadet Lelaki dan 39 Pegawai Kadet Wanita, masing-masing dari UTM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai wakil universiti awam untuk zon selatan.

Pengurniaan watikah tauliah tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.

Panglima Tentera Darat (PTD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain

Majlis Lafaz Perisytiharan Pentauliahan pada kali ini, menyaksikan seramai dua Pegawai Kadet Terbaik Universiti Awam, Leftenan Muda Umar Alfaruq bin Abdul Mutalib daripada UTM manakala Leftenan Muda Amyrul bin Nordin daripada UTHM menerima Pedang Kehormat yang diberikan oleh PTD.

Pegawai Kadet Terbaik Universiti Awam, Leftenan Muda Umar Alfaruq bin Abdul Mutalib daripada UTM menerima Pedang Kehormat yang diberikan oleh PTD.

Majlis ini merupakan penganjuran kali pertama mengikut zon bagi tahun 2022 yang tidak melibatkan perbarisan di padang kawad disebabkan penularan wabak Covid-19.

Oleh itu, bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), pentauliahan kali ini dilaksanakan mengikut enam zon tanpa kehadiran orang awam dan ahli keluarga.

Pegawai kadet PALAPES UA menjalani latihan pemanasan selama seminggu bermula dari 1 Januari 2022 selepas menjalani Ujian Saringan Saliva di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM.

Taklimat kerjaya disampaikan oleh Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) turut diadakan dalam minggu pemanasan bagi membuka haluan kerjaya dalam bidang ketenteraan.

Pegawai Kadet yang ditauliahkan berpeluang memanfaatkan kebolehan mereka dengan menyertai Askar Wataniah (AW) di salah satu daripada 16 unit Rejimen Siri 500 AW di seluruh Malaysia manakala bagi Pegawai Muda Laut dan Udara mereka boleh melapor ke pasukan yang berdekatan dengan tempat kediaman atau kerja mereka.

Majlis Lafaz Perisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES UA ini adalah manifestasi berterusan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dalam menjayakan hasrat kerajaan Malaysia bagi memperkasakan Pasukan Simpanan ATM sejajar dengan Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Selain itu, majlis ini juga membuktikan kejayaan usaha kedua-dua kementerian dalam melahirkan modal insan yang cekal, jati diri yang tinggi dan mempunyai kualiti kepimpinan yang mantap sebagai generasi pewaris teraju negara.

Dalam ucapan Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, beliau menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh Pegawai Kadet PALAPES UA yang berjaya menamatkan Latihan.

Menurut beliau, dengan ilmu yang diperoleh semasa dalam latihan, pegawai-pegawai ini dapat menyumbang ke arah pembentukan ATM yang ampuh dan berwibawa.

“Saya berharap latihan yang dijalani dapat menyemai ciri-ciri kepimpinan dan memupuk nilai-nilai positif di dalam diri setiap Pegawai Kadet PALAPES UA yang dipakaikan pangkat pada kali ini.

Kejayaan ini merupakan permulaan kepada saudara dan saudari sekalian untuk terus meningkat di dalam kerjaya sebagai pegawai di dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia mahupun perkhidmatan awam dan swasta.

Tentera Darat sentiasa mengalu-alukan kehadiran saudara dan saudari untuk menceburkan diri sebagai pegawai tetap atau kerahan supaya pendidikan akademik yang diperolehi di universiti dapat dipergunakan dalam perkhidmatan ketenteraan demi pemodenan.” ucap beliau.

Turut hadir dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES UA ini, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Asisten Ketua Staf Sumber Manusia (AKS SM), Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Panglima Pendidikan & Latihan (PPL), Panglima Latihan, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera (KS Mk ATM), Naib Canselor UTM, Naib Canselor UTHM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Timbalan Komandan PALAPES UTM dan Timbalan Komandan PALAPES UTHM.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kiri) memakaikan pangkat Leftenan Muda kepada salah seorang pegawai kadet PALAPES di Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-39 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malalaysia (UTM) Johor Bahru.

Explore More