April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 11 Dis – Faktor umur tidak menghalang seorang pesara kerajaan berusia 71 tahun untuk mencapai kejayaan apabila berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Ke-64 (MK64) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dr Abdul Rahim Ramli, graduan tertua konvokesyen kali ini telah menerima Ijazah PhD dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah dari Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah pada sesi pertama majlis konvokesyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dia sentiasa mendapat sokongan padu dari isteri dan anak-anaknya untuk menyambung pengajian walaupun telah mencapai usia emas.

“Anak saya, Prof. Ir. Dr Sharul Kamal Abdul Rahim yang menjadi tenaga pengajar di UTM banyak membantu saya ketika pengajian di samping isteri, Maimunah Abd. Rahman yang tidak pernah putus asa dalam memberikan sokongan moral kepada saya sepanjang mengikuti pengajian ini.

“Menyambung pengajian di peringkat PhD bukanlah sesuatu yang mudah dan saya gembira dapat menyelesaikan pengajian ini walaupun terpaksa mengambil masa yang lama diatas faktor usia yang telah lanjut,” katanya lagi.

Dr Abdul Rahim Ramli bersama Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diterimanya pada Majlis Konvokesyen UTM ke-64 sesi pertama yang berlangsung pagi tadi di kampus Johor Bahru. Beliau muncul sebagai graduan tertua kali ini apabila berjaya mengenggam Ijazah PhD pada usia 71 tahun.

Mengulas mengenai minat beliau untuk menyambung pengajian, Abdul Rahim berkata dia mula menyambung pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada akhir 70-an dengan mengambil Diploma dan jurusan Pengurusan Kredit.

“Selepas tamat diploma saya teruskan lagi pengajian sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi sebelum memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah dalam tahun 90-an.

“Saya memperolehi diploma, sarjana muda dan sarjana ketika masih lagi bergelar penjawat awam. 

Memang penat tetapi berbaloi kerana dapat menyudahkan pengajian walaupun terikat dengan komitmen kerjaya dan rumahtangga,” katanya.

Ditanya mengenai sikap golongan muda zaman ini, Abdul Rahim berkata mereka seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaian diri dan kerjaya.

“Golongan muda mestilah sentiasa bersikap proaktif dalam merebut setiap peluang yang disediakan kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

“Saya lihat ramai golongan ini yang selesa dengan pekerjaan dan pendapatan mereka tanpa ada kesedaran untuk meningkatkan pencapaian diri demi masa depan yang lebih terjamin sementara masih terdaya untuk melakukannya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Abdul Rahim memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1971 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum bertukar ke Jabatan Perikanan pada tahun 1972 hingga 1976 diikuti Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Johor sehingga beliau bersara wajib pada tahun 2006.

Abdul Rahim memulakan pengajian PhDnya pada tahun 2013 dan tamat pada tahun 2019. Beliau dijadualkan untuk menghadiri konvokesyen pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 ketika itu.

Dr Abdul Rahim (kiri) bersama anaknya, Prof. Ir. Dr Sharul Kamal Abdul Rahim yang sentiasa membantunya sepanjang mengikuti pengajian di UTM.

Explore More