April 16, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Dis –  Tidak ada kata lain yang boleh diucapkan selain syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan kesempatan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen (MK) ke-64 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi meraikan kejayaan diri sendiri yang berjaya menamatkan pengajian.

Graduan Diploma Pengurusan Hartanah, Mohd Syukri Abu Bakar berkata pulih dari jangkitan COVID-19 adalah anugerah terbesar dalam hidupnya jika hendak dibandingkan dengan semua anugerah yang ada di dunia ini.

“Saya benar-benar rasa bersyukur kerana dapat pulih dari jangkitan maut ini dan diberikan Allah SWT peluang kedua untuk menjalani kehidupan.

Saya tamat belajar pada penghuhung tahun 2020 dan dijangkiti virus berbahaya ini pada bulan Julai 2021 sewaktu membuat penghantaran kek ke rumah pelanggan di Kuala Lumpur. 

Kerja ini saya lakukan secara sambilan bagi menampung perbelanjaan sementara mendapat pekerjaan selepas tamat belajar,” katanya ketika diwawancara pagi tadi.

Mengenang kembali detik dijangkiti, Mohd Syukri berkata beliau telah dibawa oleh ibunya ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan ditidurkan selama sebulan setengah setelah menjalani proses intubasi.

“Selama sebulan setengah saya ditidurkan dan sepanjang tempoh itu hanya bergantung kepada bekalan oksigen untuk terus hidup. Saya juga tidak tahu akan nasib ibu, Fatimah Zakaria yang juga dijangkiti virus sama sepanjang ditidurkan.

Saya dan ibu disahkan positif COVID-19 sesudah membuat ujian calitan setelah ayah, Abu Bakar Abidin disahkan positif virus itu. Ayah meninggal dunia pada 13 Julai 2021 dan saya hanya sedar semula selepas tarikh itu,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun Mohd Syukri merasa lega apabila ibunya juga sembuh dari jangkitan berbahaya itu.

Adalah satu perkara biasa untuk setiap bekas pesakit penyakit berbahaya ini melalui satu fasa dikenali sebagai Long COVID yang disebabkan oleh kecederaan pada paru-paru akibat jangkitan virus ini.

“Sebagaimana bekas pesakit COVID-19 yang lain, saya juga tidak terkecuali dari melalui fasa ini. 

Antara kesan jangkitan adalah kesukaran bernafas jika berjalan tanpa henti.

“Tangan kanan juga tidak begitu bertenaga akibat kesan tebukan intubasi di bahagian ketiak ketika menjalani proses rawatan selain dari kaki kiri yang masih lemah akibat lama terlantar,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Mohd Syukri berkata beliau masih belum berhasrat untuk menyambung pengajian disebabkan faktor kewangan selain masih perlu untuk menjalani rawatan gejala Long COVID.

“Saya memang berminat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda tetapi masih belum benar-benar pulih dari jangkitan COVID-19 dan perlu mencari pekerjaan,” katanya mengakhiri perbualan.

Explore More