April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM Techmission 2.0 : Misi Bantuan Pasca Banjir Lembah Klang UTM

KUALA LUMPUR, 23 Disember – UTM telah melancarkan satu lagi misi bantuan pasca banjir, UTM Techmission 2.0 @Lembah Klang berikutan situasi banjir luar jangka yang berlaku pada 19 Disember yang lalu.  

Pagi ini telah berlangsung majlis pelepasan pasukan bantuan (Flag Off) yang dilakukan oleh Yang Berusaha Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) selaku Penaung dan diiringi oleh En. Mohd Najib bin Masroom, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur.

Misi bantuan ini melibatkan 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar UTM yang sihat tubuh badan serta telah disaring dengan ketat mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN bagi memastikan keselamatan kesemua sukarelawan dan komuniti setempat.

UTM Techmission 2.0 memfokuskan kepada beberapa kawasan iaitu Shah Alam, Puchong, Gombak, Sungai Buloh dan juga Hulu Langat. 

Pelbagai barangan keperluan telah dikumpul hasil daripada sumbangan warga UTM Kuala Lumpur di bawah Projek Sumbangan Bantuan Banjir anjuran Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Pasukan UTMTechmission 2.0 juga telah berkerjasama dengan pasukan sukarelawan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kerja-kerja pembersihan dan gotong-royong kawasan perumahan yang terjejas di Puchong.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut meluangkan masa ke lokasi penduduk yang terjejas dan berkesempatan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa yang terlibat.

Terdahulu, hujan berterusan selama dua hari sejak 19 Disember lalu telah menyebabkan kebanyakan kawasan dinaiki air dan jalan-jalan utama ditutup dan telah menyebabkan seramai 51 orang staf dan 30 pelajar universiti telah terkesan termasuk staf yang terlibat dengan insiden tanah runtuh dan rumah dinaiki air.

Oleh itu UTM Techmission ini telah menterjemahkan inisiatif universiti dalam memberi sumbangan bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan, setelah kejayaan siri pertama UTM Techmission iaitu bantuan pemasangan paip air bagi membekalkan air bersih kepada penduduk sekitar kaki Gunung Jerai yang dilanda musibah akibat kejadian kepala air.

Besar harapan universiti untuk terus membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa yang terkesan akibat daripada musibah ini. 

Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan motivasi dan menguatkan lagi kecekalan dan semangat mangsa-mangsa dalam menghadapi dugaan.

Explore More