JOHOR BAHRU, 13 Dis – Kekurangan diri yang dialami oleh Norisah Bahrom tidak sama sekali menghalangnya untuk mengenggam segulung ijazah walaupun terpaksa bergerak dengan kerusi roda disebabkan masalah pada tulang belakang yang dialaminya.
Apatah lagi apabila beliau asalnya dilahirkan seperti kanak-kanak biasa normal dan sihat tubuh badan namun tragedi ketika berusia 15 tahun telah meragut keupayaan beliau untuk berjalan seperti biasa untuk selama-lamanya.
Merupakan kanak-kanak yang aktif dan peramah, beliau disahkan mengalami masalah pada tulang belakang yang tidak sempurna pembesarannya pada usia 15 tahun yang telah mengakibatkan urat saraf tidak dapat berfungsi dengan baik dan keadaan kekuatan kaki berkurangan dan menjadi lemah dari setahun ke setahun.
Walau bagaimanapun ianya tidak sedikit pun mencacatkan kesungguhan dan semangat beliau untuk berjaya.
Beliau telah menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dan telah menerima skrol dari Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim di Majlis Konvokesyen ke-64 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI) pagi tadi.
Norisah dalam sesi wawancara dengan Seksyen Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM berkata kekurangan fizikal tidak boleh dijadikan alasan untuk berdiam diri dan tidak berjaya dalam pendidikan.
“Saya belajar secara separuh masa melalui Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE) disebabkan terikat dengan komitmen kerjaya serta rumahtangga.
Walaupun saya perlu menggunakan kerusi roda dan membahagikan masa untuk kerjaya dan keluarga, itu bukanlah halangan untuk saya tidak ke kelas,” katanya yang turut ditemani suami, Abu Samah Borhan dan anak lelakinya, Adam Daniel.
Mengulas lanjut berkenaan dengan cabaran yang dihadapinya, Norisah tidak menolak fakta akan keadaan dirinya yang kekurangan sedikit sebanyak menyukarkan pergerakannya sepanjang pengajian.
“Tidak dinafikan status sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) sedikit sebanyak menyukarkan pergerakan saya sepanjang menuntut di UTM tetapi saya amat bersyukur kerana kampus Kuala Lumpur amnya dan bangunan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) khasnya mempunyai banyak fasiliti yang bersifat mesra dengan orang seperti kami.
“Para pensyarah dan juga rakan-rakan sekuliah amat prihatin dengan keadaan diri saya dan sentiasa mengusahakan agar saya dapat belajar di bilik kuliah atau makmal komputer yang sesuai dengan keadaan diri,” katanya lagi.
Bercakap mengenai perancangan masa hadapan Norisah berkata beliau tidak lagi mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian memandangkan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.
“Anak saya yang masih bersekolah juga perlukan perhatian dan bimbingan dalam pelajarannya ditambah pula dengan suami yang kerap keluar kerana terlibat dengan sesi latihan sukannya di kompleks Sukan Bukit Jalil.
Suami saya adalah seorang atlet negara yang terlibat dalam sukan Tenis Berkerusi Roda dan telah mewakili negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang lalu,” katanya lagi.
Ditanya mengenai pesanannya kepada golongan OKU Norisah berkata golongan ini seharusnya sentiasa berusaha untuk memajukan diri.
“Negara kita memberikan banyak ruang kepada golongan OKU untuk memajukan diri dalam apa juga lapangan dengan nilai peruntukan yang mencecah jutaan ringgit disediakan setiap tahun.
“Rebutlah setiap peluang yang ada selagi mampu dan tingkatkanlah martabat golongan OKU ini supaya setanding dengan manusia normal,” katanya lagi.
Norisah yang memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 2005 itu kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Sistem Maklumat Kanan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Norisah Bahrom bergambar dengan ijazah yang diperolehinya di Majlis Konvokesyen UTM ke-64 sekaligus membuktikan bahawa status sebagai OKU tidak pernah menghalangnya untuk mengenggam segulung ijazah.