April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 14 Dis. – Hasrat seorang mahasiswa jurusan kejuruteraan elektrik untuk menamatkan pelajaran hampir tidak kesampaian apabila disahkan menghidap barah limfoma ketika tahun ketiga pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berikutan penyakit itu, Mohd Fahmi Mohd Fadzil terpaksa bercuti selama tiga semester bagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital namun sokongan keluarga dan rakan memberi kekuatan buat Mohd Fahmi melawan penyakit itu dan menghabiskan baki pengajiannya walaupun lewat daripada tempoh sepatutnya.

Berkongsi pengalamannya, pemuda cekal dari Pulau Pinang itu mengakui terkejut selepas dimaklumkan doktor yang dirinya menghidap barah kerana tiada ahli keluarga lain ada penyakit itu sebelum ini.

Beliau disahkan menghidap barah limfoma tahap dua pada tahun 2017 ketika sedang menjalani Latihan Industri di Pulau Pinang.

“Penyakit ini dikesan selepas saya demam dan sesak nafas.

Apabila saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan doktor telah membuat imbasan sinar X-Ray dan mendapati paru-paru saya telah membengkak,” katanya mengenang kembali saat itu.

Menurutnya lagi apabila sampel dari tubuhnya diambil untuk dihantar ke makmal maka di situlah penyakit kanser ini dikesan.

“Doktor mengesahkan saya menghidapi kanser limfoma (kanser darah) dan jangkitan itu telahpun sampai ke bahagian paru-paru saya.

Memang sedih ketika dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi saya tetap mencuba untuk berfikiran positif dan mengikut saranan doktor dengan menjalani rawatan kemoterapi dan juga beberapa sesi rawatan susulan sepertimana yang dicadangkan,” katanya ketika diwawancara pagi tadi.

Menurutnya lagi, sepanjang menjalani proses rawatan di Hospital Pulau Pinang, dia terlantar sakit di katil dan segala keperluannya diuruskan oleh keluarganya.

“Saya hampir putus asa untuk hidup apatah lagi menghabiskan pengajian tetapi mereka sentiasa memberikan sokongan moral dan itulah yang menguatkan semangat saya untuk kembali semula ke UTM selepas selesai menjalani rawatan,” katanya yang kini beransur pulih.

Apabila tamat cuti, Mohd Fahmi kembali semua ke kampus untuk menghabiskan baki pengajian yang tertangguh dan di sini beliau juga menghadapi cabaran yang hebat kerana semua rakan-rakan sekuliahnya yang dahulu telah tamat pengajian.

“Saya terpaksa mengulang beberapa subjek dan ada diantaranya perlu rujukan kepada orang lain untuk menunjuk ajar dan di sinilah saya merujuk kepada pelajar ‘junior’ untuk membantu saya.

“Tidak perlu ada rasa malu dan ego dalam perkara ini kerana kita sebagai manusia sememangnya perlukan bantuan antara satu sama yang lainnya. 

Alhamdulillah mereka memberikan kerjasama yang sewajarnya sehingga membolehkan saya lulus semua subjek sekaligus menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya lagi.

Diminta memberikan kata-kata pesanan kepada mahasiswa yang putus asa untuk menghabiskan pengajian, Mohd Fahmi berkata seharusnya tiada istilah putus harapan sepanjang bergelar mahasiswa universiti.

“Kita harus ingat kenapa kita ke UTM dan perlu diambil perhatian bahawa tidak semua lepasan sekolah atau diploma di luar sana yang berpeluang seperti kita semua yang diterima masuk ke salah sebuah universiti ternama di negara ini.

Oleh yang demikian, gunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin dan tamatkan pengajian anda. 

Kenang semula matlamat dan cita-cita anda ketika mula-mula menjejakkan kaki di UTM ini,” katanya yang berjaya menamatkan pengajian dengan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan menerima ijazahnya di Majlis Konvokesyen UTM ke-64 sesi ketujuh petang tadi.

Tahniah diucapkan! Semua pihak harus menjadikan beliau sebagai contoh untuk terus berjaya.

Mohd Fahmi Mohd Fadzil usai Majlis Konvokesyen UTM ke-64. Beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik walaupun disahkan menghidap kanser limfoma ketika di tahun ketiga pengajiannya dan terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga semester.

Explore More