April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 6 Dis – Kejayaan dalam kehidupan bukanlah hak milik mutlak golongan yang kaya dan berkemampuan sebaliknya mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja asalkan sanggup bekerja keras untuk maju dalam kehidupan.

Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd Fauzi Mohd Said berkata kehidupan beliau dibahagikan kepada empat fasa iaitu latar belakang keluarga, pengajian di UTM, kerjaya dalam perkhidmatan awam dan juga dari Skudai ke Cambridge.

Mohd Fauzi yang kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana besar. 

Dilahirkan sebagai anak sulung kepada empat beradik, beliau melalui kehidupan yang serba sederhana pada peringkat awal kehidupannya.

“Saya dilahir dan dibesarkan di Kg. Sijangkang, sebuah kampung yang terletak dalam daerah Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan. 

Kehidupan kami sekeluarga amat sederhana dengan kedua ibubapa berniaga pasar malam tiga kali seminggu untuk mencari nafkah bagi menampung keperluan keluarga,” katanya mengimbas kehidupan awalnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian umum bertajuk Keunggulan Terbilang : Dari Skudai ke Cambridge yang disiarkan secara dalam talian anjuran UTM Alumni. 

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sijangkang, Kuala Langat dan kemudiannya ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Banting (Tingkatan 1 hingga 3) seterusnya ke Maktab Tentera DiRaja (MTD) Sungai Besi, Kuala Lumpur bagi pengajian menengah tinggi (tingkatan empat dan lima).

Selanjutnya beliau menyambung pengajian di UTM pada tahun 1996 hingga 2000 dan bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Hartanah).

“Sewaktu menuntut di UTM, saya mengikuti pengajian selama empat tahun di Fakulti Ukur dan Harta Tanah yang kini dikenali sebagai Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).

“Kursus kami ketika itu hanya mempunyai 50 orang pelajar dengan komposisi yang sangat seimbang di mana kami berpeluang untuk bercampur gaul dengan mahasiswa bumiputera dan bukan bumiputera di samping yang berasal dari semenanjung Malaysia serta Malaysia Timur,” katanya mengimbau zaman pengajiannya di UTM.

Mohd Fauzi berkata zaman pengajian di UTM juga bukan sahaja membentuk personalitinya menjadi mahasiswa universiti malahan juga menyiapkan graduan untuk lebih holistik di alam pekerjaan.

“Ketika menuntut di UTM, saya menyertai Persatuan Penilaian Harta Tanah (PEHARTA) dan dilantik menjadi Presiden bagi persatuan tersebut.

“Persatuan kami ada menganjurkan beberapa aktiviti kemasyarakatan di dalam dan luar negeri Johor dan aktiviti seumpama ini juga berpotensi membina kemahiran kendiri pada mahasiswa,” katanya.

Tamat pengajian dengan jayanya pada tahun 2000 dan diterima bekerja sebagai Eksekutif Penilai Harta di Firma Hartanah Jordan Lee & Jaafar, sebuah syarikat penilaian hartanah bertempat di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

“Saya bertugas di syarikat hartanah ini selama tiga tahun dan pengalaman selama itu telah berjaya meningkatkan tahap keyakinan dalam diri saya untuk pergi jauh dalam dunia kerjaya ini.

“Selepas itu dalam tahun 2003 menyertai sektor awam apabila diterima sebagai Pegawai Penilaian di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum memulakan kerjaya secara serius sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya mengimbau kenangan alam pekerjaannya.

Bertugas sebagai PTD, Mohd Fauzi telah ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian seperti Jabatan Perdana Menteri, JPA, Kementerian Luar Negeri (Kedutaan Besar Malaysia di Mesir), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Razak School of Government.

“Tahun 2012 hingga 2013 saya menyambung pengajian di Hertie School of Governance di Berlin, Jerman dan mengambil Ijazah Sarjana Polisi Awam di situ sekaligus menjadi warga Malaysia pertama diterima masuk di institusi berkenaan.

“Selain mempelajari subjek Polisi Awam, Ekonomi, Pengurusan dan Undang-undang negara itu, saya juga berpeluang untuk mempelajari budaya dan bahasa masyarakat negara Eropah itu yang unik,” katanya lagi.

Fasa empat dalam kehidupan Mohd Fauzi juga manyaksikan beliau menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di University of Cambridge, United Kingdom (UK).

“Di University of Cambridge ini juga kita dapat mempelajari banyak budaya baharu dalam aspek memasyakatkan universiti untuk faedah setempat.

“Di sini kami mempraktikkan kaedah ‘Business Model Innovation Research Group’ iaitu menjalankan penyelidikan tentang bagaimana untuk memanfaatkan model perniagaan bagi bentuk produk atau perkhidmatan komersil yang berbeza,” katanya lagi.

Menurut Mohd Fauzi lagi, satu sesi yang dikenali sebagai ‘Knowledge Sharing’ sering diadakan bagi berkongsi kepakaran dan juga hasil penyelidikan universiti kepada masyarakat awam.

“Dalam sesi ini para penyelidik dan juga ahli akademik dikehendaki memberikan syarahan mengenai kepakaran dan juga hasil penyelidikan mereka kepada masyarakat awam di sekitar kampus universiti.

“Komuniti awam yang dijemput khas bagi menghadiri sesi ini juga dibenarkan untuk bertanyakan soalan berkenaan dengan bidang kepakaran ataupun hasil penyelidikan yang dibentangkan,” katanya lagi.

Explore More