April 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Dis – Seramai 300 Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar, Kelab, Badan Beruniform dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengikuti Kursus Pengurusan Persatuan (KPP) bagi sesi 2021/2022.

Program yang dijalankan secara hibrid di mana slot ceramah/taklimat dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian selama dua hari (6-7 Disember 2021) pada siang hari dan dihadiri semua peserta manakala Slot secara fizikal yang dinamakan Malam Kemuncak KPP diadakan di Le Grandeur Palm Resort Johor dan dihadiri oleh seorang sahaja wakil yang dinamakan oleh setiap organisasi.

Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar UTM, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata program KPP merupakan program tahunan anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) atau HEP yang dijalankan dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam selok-belok pengurusan persatuan dan kelab mahasiswa.

“Kursus KPP secara fizikal yang terakhir dianjurkan adalah sebelum pandemik COVID-19 diadakan pada 9 hingga 11 Oktober 2019 di Rompin Beach Resort, Kuala Rompin, Pahang.

“Ketika pandemik berbahaya ini melanda dunia pada tahun 2020, kursus sesi 2020/2021 terpaksa dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian pada 18-19 Disember tahun yang sama sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SoP) dikeluarkan kerajaan pada masa itu yang tidak membenarkan sebarang majlis sosial dilaksanakan secara fizikal,” katanya ketika berucap di Malam Kemuncak KPP sesi 2021/2022 yang berlangsung di Palm Resort Johor semalam.

Walaubagaimanapun keadaan ini berubah apabila pelbagai sektor negara dibuka semula sempena fasa endemik dan kursus KPP ini dapat dijalankan secara hibrid dengan pelbagai slot ceramah dilaksanakan secara dalam talian manakala slot Malam Kemuncak dibuat secara fizikal.

Antara slot ceramah yang dijalankan pada 6 Disember secara dalam talian adalah Pengesahan Kehadiran & Taklimat Kursus, Sesi Bersama Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prosedur Pelaksanaan Aktiviti, Sistem Aktiviti Pelajar & GEMA, Penulisan Berita, Pengurusan Media & Press Kit dan Pengurusan Kewangan Persatuan, 

Para peserta juga diberikan pendedahan berkenaan dengan Surat Menyurat, Pengurusan Mesyuarat, Minit dan Kajian Kes, Penyediaan Laporan Program dan Perkongsian Amalan Terbaik pada slot ceramah pada 7 Disember.

“Adalah menjadi harapan HEP agar lebih banyak kejayaan pelajar dicipta pada masa akan datang dengan penganjuran pelbagai program yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat selain menyokong dasar pendidikan negara,” katanya lagi.

Seramai lima orang peserta terbaik Program KPP 2021 juga telah menerima hadiah masing-masing dari Pengerusi Majlis Pengetua, Prof. Ir. Dr Sharul Kamal Abdul Rahim.

Explore More