November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pada 20hb November 2021, Sabtu yang lalu, satu program penghasilan lilin daripada minyak masak terpakai telah diadakan bersama komuniti ibu tunggal dan B40. Seramai 30 peserta yang terdiri daripada anak-anak ibu tunggal dan B40 yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bersama ibu-ibu mereka telah hadir untuk menyertai program tersebut yang bertempat di Pusat Komuniti Sri Tanjung, PPR Kempas Permai. Turut hadir bersama pegawai dari YPKDT Puan Wan Nur Hayati Cholan dan Penggerak Wanita serta wakil SWM Environment, En Mohd Aizad Osman. Program penghasilan lilin ini adalah salah satu aktiviti di bawah Projek Alam Sekitar: Pengumpulan Minyak Masak Terpakai merupakan satu projek kerjasama antara UTM, SWM Environment dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT). Projek ini juga merupakan salah satu subprojek bagi projek “Pemberdayaan Keluarga Sejahtera dalam kalangan Komuniti Ibu Tunggal dan Penggerak wanita di YPKDT” di bawah geran UTM Knowledge Transfer Programme (Research Innovation Grant).

Aktiviti dimulakan dengan bacaan doa, dan diteruskan dengan taklimat pengurusan sisa kitar semula dari SWM Environment. Kemudian penerangan dan perkongsian pengurusan minyak masak terpakai oleh Dr Noorzana Khamis diikuti aktiviti penghasilan sabun, lilin dan pelita daripada Dr Chuzairy Hanri. Para peserta yang hadir didedahkan dengan kaedah yang betul dan cara menguruskan sisa buangan seperti sampah dan minyak masak terpakai agar tidak mengundang pencemaran, menjaga alam sekitar dan menjana pendapatan sampingan. Program ini berjalan lancar dan mendapat sokongan yang baik dari para peserta. Kaunter minyak masak terpakai dan barangan kitar semula dibuka bagi para peserta yang membawa barangan sisa yang telah dikumpulkan.

Selaras dengan tujuan utama projek ini, iaitu memberikan ilmu, pendedahan dan kemahiran kepada anak-anak ibu tunggal dan B40 untuk mendapat kesedaran tentang penjagaan alam sekitar, khususnya berkenaan kitar semula dan pengumpulan minyak masak terpakai. Kesedaran alam sekitar ini adalah sejajar dengan projek pembangunan kelestarian Malaysia 2025 dan fokus diberikan supaya dapat menjaga kelestarian alam sekitar dari pencemaran akibat pengurusan sisa dan pembuangan minyak masak terpakai. Penerangan dari konsep asas sains juga turut diterapkan agar anak-anak yang terlibat dapat mengintergrasikannya dengan pembelajaran di sekolah. Penghasilan dan pembuatan sabun, lilin dan pelita daripada minyak masak terpakai yang dikongsikan juga boleh membantu keluarga ibu tunggal dan B40 menjimatkan ekonomi keluarga dengan menjual, mengurangkan kos perbelanjaan dan menambahkan pendapatan sampingan. Semoga projek ini memberikan manfaat kepada pelbagai pihak dan alam sekitar juga turut terpelihara.

Projek alam sekitar ini diketuai oleh Dr. Noorzana Khamis dan ahli projeknya, Dr Chuzairy Hanri dan Puan Hasnah Md Amin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM. Turut membantu, Prof. Madya Dr Mohd Fauzi Husin dan Cik Syakirah Zahar dari CFiRST, UTM. Sebelum ini, ceramah alam sekitar secara maya juga telah diadakan pada 28 Ogos 2021.

Disediakan oleh: Dr Noorzana Khamis, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM

Explore More