April 16, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul Universiti Awam (UA) pertama di negara ini apabila melancarkan ruang pembelajaran hibrid dengan integrasi Internet of Things (IoT) iaitu UTM Flexible Learning Space atau UTMFLEXIS.

UTMFLEXIS ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr Husaini Omar secara dalam talian Facebook Online yang dipancarkan secara terus dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Berucap dalam ucapan perasmiannya, Prof Husaini berkata pelancaran UTMFLEXIS ini adalah bertepatan dengan Hari Akademia 2021 yang membawa tema Pendigitalisasian Pendidikan Tinggi di Malaysia.

“Melalui pusat ini, sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) boleh dilaksanakan secara serentak bagi mahasiswa yang hadir secara fizikal dan juga pelajar yang mengikuti kuliah dalam talian dari luar kampus.

Kewujudan pusat ini sekaligus membolehkan mahasiswa mendapatkan akses kepada sesi perkuliahan akademik walaupun berada di luar kampus,” katanya lagi.

Manurut Dr Husaini, pendidikan hibrid adalah satu kaedah baharu yang sesuai untuk dilaksanakan dalam Program Pemulihan Negara (PPN) bagi membawa negara keluar dari pandemik COVID-19.

“Perlaksanaan agenda ini perlu diikuti dengan penyediaan kemudahan infrastruktur yang baik bagi memastikan kelancaran program ini dan dengan wujudnya kemudahan UTMFLEXIS ini dapat memudahkan lagi usaha itu,” katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan UTM (UTMLead), Dr Nurbiha A. Shukur berkata terdapat dua jenis UTMFLEXIS yang disediakan iaitu Ruang Legar UTMLead dan juga Makmal UTMFLEXIS.

“Ruang legar boleh digunakan oleh sesiapa sahaja manakala makmal UTMFLEXIS haruslah ditempah terlebih dahulu sebelum digunakan.

Tempahan boleh dilakukan secara dalam talian di laman web utama UTMLead dan setiap butiran akan deteliti oleh staf kami,” katanya lagi.

Suasana pembelajaran dalam makmal ini juga kondusif serta memberikan keselesaan kepada pengajar dan juga pelajar.

“Pensyarah hanya perlu membawa komputer riba masing-masing dan menyambungkan komputer itu di panel pintar (smart board) yang disediakan dan boleh terus menyampaikan kuliah kepada mahasiswa yang hadir dan juga yang mengikuti kuliah secara dalam talian.

“Lampu dalam makmal juga boleh disesuaikan dengan kegunaan semasa dan boleh diubah melalui aplikasi Google Home Assistant mengikut kelesaan dan keperluan masing-masing,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan juga Pemangku Pengarah UTMLead, Prof. Madya Ir. Dr. Sharifah Hafizah Syed Ariffin.

Projek ini telah dibangunkan dengan kerjasama tiga pihak iaitu UTMLead, Jabatan Harta Bina dan juga Jabatan Digital UTM.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Ahmad Fauzi Ismail berucap mewakili UTM dalam pelancaran UTM FLEXIS.
Makmal pembelajaran UTM FLEXIS yang moden dan selesa. Direkabentuk khas bagi menjalankan fungsi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara serentak kepada mahasiswa yang hadir secara fizikal dan juga bagi yang mengikuti pembelajaran melalui kaedah dalam talian (online).

Explore More