April 19, 2024

Search
Close this search box.

Graduan Sekolah Komputeran Dilantik Felo Perdana 2021 Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 13 OKT – Graduan cemerlang dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih sebagai Felo kepada YAB Perdana Menteri.

Pelajar tersebut, Yap Sin Yee merupakan graduan dari program Sarjana Muda Sains Komputer (Bioinformatik) dan menamatkan pengajian dengan cemerlang pada sesi 2019/2020 yang lalu.

Beliau merupakan antara 66 orang penerima semasa sesi Majlis Penyerahan Felo Perdana kepada semua Ahli Jemaah Menteri bagi tahun 2021 yang disempurnakan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober 2021 lalu.

Sejak 2013, Program Felo Perdana yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan objektif untuk melatih belia berpotensi dengan kemahiran aras tinggi di samping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

Menurut Sin Yee, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu secara langsung dalam urusan kerja YAB Perdana Menteri.

“Selain daripada penglibatan dalam urusan pentadbiran, saya amat gembira kerana dengan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dan pengaturcaraan yang telah saya pelajari semasa di UTM akan membantu saya untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan portal baharu #KeluargaMalaysia.”

Saya berharap melalui penyertaan dalam program Felo Perdana ini, suara ataupun cadangan pembaikan saya sebagai seorang anak muda dan penyelidik di Malaysia dapat disampaikan kepada kerajaan.” jelas Sin Yee.

Semasa di UTM, beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam pelbagai aktiviti mahasiswa.

Beliau merupakan mahasiswa dalam program 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) UTM, dalam trek Kepimpinan Global dan amat aktif dalam aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan.

Antara penglibatan beliau semasa di UTM adalah menjadi wakil dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UTM), Pengarah program Malaysia Bioinformatics Students Conference 2018 (MABIOS’18), Ketua Fasilitator Petrosains Robotics Workshop dan Timbalan Pengarah program Global Outreach ke New Zealand.

Selain dari berpotensi dalam pembangunan sistem dan perisian, Sin Yee juga beminat dalam penyelidikan dalam bidang sains komputer.

Pada tahun terakhir beliau di UTM, beliau telah berjaya mendapat penempatan latihan industri di University of Cambridge UK, sebagai penyelidik di dalam bidang kepintaran buatan (artificial intelligence) dan bioinformatik.

Kesungguhan Sin Yee untuk menjalani latihan industri di universiti terkemuka dunia tersebut terbukti dengan usaha beliau untuk mengumpul dana bagi menampung kos penginapan dan sara hidup semasa di sana.

Malah, lebih membanggakan apabila Sin Yee telah menerima tawaran untuk menyambung PhD dalam penyelidikan berkaitan machine learning for neuroimaging di University of Cambridge untuk sesi pengajian pada Oktober 2022.

Artikel berkaitan Felo Perdana: https://www.facebook.com/100064453909444/posts/232425625582566/?d=n

Artikel berkaitan 5ETP & MABIOS’2018:
https://news.utm.my/2018/03/utm-5etp-organised-malaysia-bioinformatics-students-conference-mabios-2018/

Artikel berkaitan Latihan Industri di University of Cambridge:
https://news.utm.my/2019/09/research-at-university-of-cambridge-congratulations-to-5etp-student-yap-sin-yee/

https://news.utm.my/ms/2019/09/komuniti-utm-prihatin-bantu-yap-sin-yee-ke-universiti-cambridge-united-kingdom/

Explore More