Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengambil berat dan komited untuk membantu pelajarnya dalam usaha merealisasikan impian mereka.

Terbaru UTM berkongsi kegembiraan apabila pelajar tahun empat dari Fakulti Kejuruteraan, Yap Sin Yee telah menerima khabar gembira apabila diterima masuk untuk menjalankan latihan penyelidikannya di sebuah universiti terkemuka di United Kingdom iaitu Universiti Cambridge.

Namun malangnya, beliau tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk menyara perbelanjaan beliau sepanjang berada di sana.

Ini memandangkan pihak Universiti Cambridge hanya menaja yuran pengajian sahaja manakala kos penginapan dan sara hidup perlu ditanggung sendiri.

Memburukkan lagi keadaan, kerajaan British juga meminta pelajar yang melanjutkan pelajaran ke sana perlu mengemukakan bukti memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM26 ribu dalam bentuk dokumen bank.

Dalam tempoh empat bulan, beliau telah berusaha menghubungi pelbagai agensi kerajaan, syarikat, universiti-universiti dan banyak lagi bagi mengumpul dana tersebut namun gagal mendapatkan jumlah yang diperlukan memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan memaksa pihak korporat mengurangkan tajaan mereka untuk pelajar ke luar negara.

Mujurlah setelah berbincang dengan pensyarah, Yap Sin Yee memutuskan untuk memulakan “Crowd funding” bagi mendapatkan dana RM10 ribu yang masih kurang melalui https://yapsinyee.com/research-internship-at-cambridge/?fbclid=IwAR31_fH1DZ2u6AsSo3MGkSrmaEVv1DQcVqHvupMUIUjIKJOBBMqKh8mfIuQ.

Setelah posting beliau dimuatnaik, pelbagai pihak dalam komuniti UTM telah membantu menularkan postingnya melalui pelbagai saluran di media sosial dan akhirnya setelah hanya 20 hari, beliau berjaya mengumpul jumlah tersebut sebelum tempoh yang ditetapkan.

Seramai 171 pihak telah membantu merealisasikan impian beliau untuk mengumpul dana sebanyak RM10,000.

Katanya, pelbagai cabaran yang beliau hadapi sepanjang tempoh berkenaan, namun dengan sokongan yang diterima daripada semua akhirnya beliau berjaya menghadapinya.

“Di sini, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang tak berbelah melalui program 5ETP UTM dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar terutamanya Prof Durrishah dan stafnya yang sentiasa bersabar melayan persoalan dan permintaan saya.

“Sejak dari mula saya menyediakan kertas kerja, HEP sentiasa berusaha untuk membantu memberi tunjuk ajar kepada saya tentang apa yang perlu dan boleh saya buat.

Tidak lupa juga dana yang diberikan pihak HEP untuk mendapatkan tiket penerbangan pada harga yang berpatutan.

Selain itu, Prof Durrishah bersama staf HEP juga membantu menyebarkan maklumat berkaitan “Crowd Funding” sejak dari awal saya mewujudkannya,” katanya.

Beliau menambah, kita semua faham pihak universiti tidak mampu untuk memberikan bantuan kewangan yang banyak disebabkan kekangan kewangan namun segala bantuan yang telah diberikan dalam pelbagai bentuk amat bermakna bagi saya,

“Saya amat menghargai segala usaha yang telah dilakukan oleh UTM terutamanya HEP.

Tanpa bantuan dan usaha yang telah diberikan tidak mungkin saya akan berjaya ke tahap ini dan merealisasikan impian saya untuk ke Universiti Cambridge,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Dr Durrishah Idrus pula menzahirkan rasa bangga beliau terhadap kejayaan Sin Yee itu dan berharap beliau akan berkongsi kejayaan dan pengalaman bersama rakan dan pelajar lain agar menjadi inspirasi kepada semua untuk terus berjaya.

Katanya lagi, UTM dan HEP secara khasnya sentiasa komited dalam usaha membantu dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk sentiasa berusaha dalam merealisasikan impian masing-masing.

Posting terakhir beliau sebelum ‘terbang’ ke United Kingdom

 

Tahniah dan selamat berjaya diucapkan kepada Yap Sin Yee dan tahniah sekali lagi kepada warga Komuniti UTM yang prihatin!