April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Sept – Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC) telah menerima geran Dana Intervensi Kebolehpasaran Graduan Peringkat Nasional bernilai RM1,056,000.00 dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengarah UTMCC Prof. Madya Dr Che Rozid Mamat berkata Program Intervensi GE (Graduate Employability) bersama Redbeat Academy ini adalah antara inisiatif KPT untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti awam.

“Program ini berkonsepkan ‘train and place’ dalam jangka masa pendek atau dikenali sebagai program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ graduan sekaligus meningkatkan potensi kebolehpasaran mereka.

Program Intervensi GE terdiri daripada dua kategori iaitu program peringkat Universiti dan Nasional,” katanya lagi.

Program peringkat Universiti dikhususkan untuk graduan sesebuah universiti awam tertentu sementara di peringkat Nasional pula adalah terbuka kepada graduan dari seluruh Universiti awam di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai program ini, Dr Che Rozid berkata program ini dijalankan di peringkat Nasional dan UTMCC telah dilantik sebagai penyelaras program dan Redbeat Academy selaku Penyedia Latihan.

“Dalam tempoh tiga bulan selepas tamat program, penyedia perkhidmatan bertanggungjawab menguruskan dan memastikan penempatan pekerjaan kepada semua graduan yang telah mengikuti kursus jangka masa pendek.

Syarat penempatan pekerjaan kepada semua peserta adalah kriteria utama KPT untuk meluluskan permohonan program intervensi GE dan sebagai penyelaras program UTMCC bertanggungjawab untuk menyediakan calon peserta, memantau pelaksanaan dan memastikan semua peserta mendapat penempatan pekerjaan selepas tamat program,” katanya.

Menurutnya lagi, program ini mengambil masa selama enam minggu dan akan mula dijalankan pada 20 September 2021.

“Ia dikendalikan oleh Redbeat Academy selaku penyedia perkhidmatan dan akan dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya.

Peserta program adalah seramai 200 orang dan mereka akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut modul pilihan iaitu data sains, pengaturcaraan komputer (programming) dan pemasaran digital,” katanya.

Setiap modul yang ditawarkan adalah mengikut keperluan pekerjaan terkini yang terdapat di sektor industri yang mana graduan akan ditawarkan bekerja setelah tamat kursus ini.

Mengulas mengenai faedah yang bakal diperolehi oleh UTM dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan ini, Dr Che Rozid berkata universiti ini bakal memperoleh graduan yang punyai pekerjaan setelah bergraduat.

“Setiap peserta yang menamatkan program ini dengan jayanya akan memperoleh salah satu pensijilan yang terdiri dari Penganalisis Data Profesional (Professional Data Analyst), Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) atau Pemasaran Digital (Digital Marketer) berdasarkan modul yang diikuti.

Semua peserta dijamin akan mendapat penempatan pekerjaan dan ini merupakan syarat wajib yang ditetapkan oleh KPT semasa kelulusan program,” katanya.

Antara syarikat atau industri yang menawarkan penempatan pekerjaan untuk program ini adalah AirAsia Digital, Rcade Studio, DSC System (M) dan ETI Tech (M).

Explore More