November 5, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Pusat Kepimpinan Akademik Universiti Teknologi Malaysia atau UTMLead sentiasa komited dan konsisten dalam usahanya melatih, membentuk dan melahirkan para pentadbir akademik yang berkualiti untuk memacu kepimpinan universiti ini.

Komitmen ini penting supaya UTM dalam jangka masa panjang sentiasa mempunyai legasi kepimpinan berkualiti bagi memacu universiti ini kearah kecemerlangan yang berterusan pada masa hadapan.  

Pengarah UTMLead, Prof. Madya Ir. Dr. Sharifah Hafizah Syed Ariffin berkata pusat yang ditubuhkan pada 2014 itu dikuasakan oleh dua unit penting iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (TL) dan Unit Pembangunan Kepimpinan Akademik dan Profesional (ALPD).

“Secara dasarnya UTMLead ada menyediakan sesi latihan kepada golongan pentadbir akademik yang dilantik untuk mengetuai Pusat-pusat Tanggungjawap (PTJ) dalam universiti.

“Sesi latihan kendalian ALPD ini dirangka berdasarkan kerangka kerja Kempimpinan Akademik (ACAP) yang mempunyai Lima Kluster terdiri dari pentadbir akademik dan juga bakal penjawat jawatan strategik universiti yang juga dikenali sebagai Kelompok Bakat,” katanya lagi.

Dr Sharifah berkata sejak tahun 2020, UTMLead telah menjalankan Program Pembangunan Bakat (Talent Development Programme) menerusi penganjuran ‘Leadership Acceleration Programme’ atau ACCER 2020.

“Menerusi program ACCER ini, seramai 25 orang kelompok bakat terpilih terdiri dari kakitangan akademik berumur 40 tahun ke bawah serta tiada memegang apa-apa jawatan pentadbiran telah dijemput untuk menyertai kursus ini.

“Program ACCER ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan peserta program ‘CEO at Faculty’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dimana setiap peserta yang terdiri dari staf akademik berusia bawah 40 tahun diwajibkan untuk menjalani latihan sambil belajar bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang terpilih,”katanya lagi.

Dr Sharifah berkata demikian ketika menjawap soalan berkaitan dengan kursus pembangunan pentadbir akademik UTM ketika diwawancara melalui telefon oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA).

Selain program pembangunan bakat pentadbir akademik, UTMLead juga bermula pada tahun 2021 telah mewujudkan beberapa kursus pembangunan lain seperti ‘Generic and Management Skills’ atau GEMS, Kursus khas bakal dekan atau ‘UTM Dean Course’ (UTMDEC) serta kursus khas untuk penyelidik iaitu ‘Growing Talent Development’.

“Kurus bakal dekan ini khas buat kakitangan akademik kanan yang bakal menyandang portfolio dekan fakulti.  kursus ini dijalankan selama tiga hingga empat bulan di dalam kampus UTM.

“UTMLead juga telah menjemput beberapa orang tokoh ternama industri untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman mereka berkaitan dengan kemahiran kepimpinan di organisasi yang mereka khidmati bagi tujuan memberikan lebih pendedahan kepada pentadbir akademik ini,” katanya lagi.

Ikon jemputan juga diberikan peluang untuk menyampaikan dan berkongsi pengalaman masing-masing di sesi Wacana dan Cakna anjuran UTMLead

“Untuk sesi Wacana kita telah menjemput beberapa tokoh seperti mantan Naib Canselor UTM, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Presiden Kanan Korporat dan Perniagaan Institusi (CIBG) Hong Leong Investment Bank Berhad, Datuk Zunaidah Idris.

“Untuk tahun 2021 pula, UTMLead telah menganjurkan dua lagi sesi Wacana melalui kaedah fizikal dan juga dalam talian yang melibatkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli dan juga Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr Norizan Abd Razak,” katanya.

Untuk sesi Cakna pula tahun ini UTMLead telah menganjurkan sebanyak dua sesi untuk dua orang Timbalan Naib Canselor (TNC) yang baharu dilantik iaitu TNC (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad dan juga TNC (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Shamsul Sahibuddin secara serentak dengan bahagian dan unit-unit yang bernaung di bawah jabatan masing-masing.

Mengulas mengenai keberkesanan kursus UTMlead kepada pentadbir akademik, Dr Sharifah berkata perkara ini adalah amat subjektif untuk dibicarakan dengan lebih lanjut.

“Kriteria perlantikan sebagai pentadbir akademik sememangnya telah mensyaratkan penjawat berkenaan untuk menghadiri kursus khas sebelum dilantik untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Kita telah menjemput ramai kelompok bakat untuk menghadiri kursus-kursus anjuran UTMLead dan ramai juga dari peserta kursus anjuran kami yang sudah memegang jawatan penting di peringkat fakulti dan juga universiti secara umumnya,” katanya lagi.

Fakta ini menurut Dr Sharifah telah membuktikan bahawa UTMLead telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam usaha membangun dan membentuk para pentadbir akademik.

“Kami telah melatih ramai kelompok bakat dan golongan ini juga telah mendapat pengiktirafan di peringkat universiti dan juga fakulti di atas kecemerlangan yang ditunjukkan,” katanya mengakhiri perbualan.

Para peserta sedang menghadiri kursus yang dianjurkan oleh UTMLead. Adalah penting untuk para pentadbir akademik diberikan kursus berkenaan pentadbiran dan pengurusan bersesuaian dengan cabaran yang bakal digalas apabila dilantik untuk mentadbir Pusat-pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam UTM.

Explore More