Pelepasan Pasukan Misi Bantuan Pasca Bencana (UTM TECHMISSION 2021@YAN)

KUALA LUMPUR, 20 September – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan Misi Bantuan Pasca Bencana UTM TechMission 2021 @ Yan.  Misi bantuan ini merupakan inspirasi dan cetusan idea YBhg. Profesor Datuk Prof. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dan Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) telah memacu inisiatif misi bantuan ini sekaligus menjadi Penaung pasukan bagi menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.   Objektif utama misi ini adalah bagi membantu mangsa kejadian banjir kilat yang telah melanda kawasan sekitar kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021 akibat fenomena kepala air baru-baru ini.  Kejadian ini telah menyebabkan beberapa kampung di sekitar Yan terjejas dan terputus bekalan air bersih termasuk Kampung Pauh yang berada di dalam Kampung Setol, Yan, Kedah. 

Hari ini, satu majlis flag-off pasukan sukarelawan UTM telah dilancarkan oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh yang diadakan di perkarangan bas UTM Kuala Lumpur. Melalui misi bantuan ini, pasukan UTM yang terdiri daripada 67 orang sukarelawan akan membantu membuat pemasangan paip air polimer sepanjang 4,000 meter bagi saluran bekalan air bersih yang memanfaatkan 500 buah keluarga yang terjejas di Kampung Pauh.  Kerja-kerja pemasangan ini akan mengambil masa selama lima (5) hari untuk dijayakan bermula dari 20 hingga 24 September 2021. Prof. Latif turut memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada para sukarelawan untuk sentiasa melindungi diri dengan mempraktikan SOP yang ketat dan pulang dengan selamat.  Kemuncak kepada misi ini adalah kehadiran YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi pada 25 September 2021 (Sabtu) ini.

Prof. Latiff melepaskan pasukan sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir di Yan, Kedah
Bacaan doa bagi memohon keberkatan misi
Prof.Latif memberikan kata-kata semangat kepada sukarelawan yang terlibat.

Misi bantuan pasca bencana ini adalah salah satu tanda keprihatinan UTM sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam yang mempunyai kepakaran untuk membantu dan menyalurkan bantuan teknikal yang berasaskan teknologi kepada komuniti yang memerlukan.  Kumpulan misi ini di terajui oleh Pengarah Program iaitu En. Mohd Najib bin Masroom yang juga merupakan Ketua Pentadbiran di UTM Kuala Lumpur dan dibantu oleh En. Khairul Zaman bin Mohd Radzi selaku Ketua Penyelaras Program.  Dalam misi membantu komuniti, UTM juga sentiasa prihatin dan meletakkan keselamatan para sukarelawan sebagai satu keutamaan.  Sukarelawan telah dibekalkan dengan ubatan yang mencukupi, Home swab test kit dan Personal Protective Equipment (PPE) disediakan mengikut keperluan sukarelawan sepanjang misi bantuan berjalan.  Pasukan misi bantuan ini disertai oleh seramai 80 orang sukarelawan yang telah disaring dengan syarat yang sangat ketat seperti syarat vaksinasi penuh dan sihat tubuh badan.  Para sukarelawan terdiri daripada staf berkemahiran teknikal, pelajar kolej serta staf UTM yang bertindak sebagai sukarelawan sokongan misi.

Semoga keprihatinan dan semangat yang dtunjukkan oleh para sukarelawan ini akan menjadi inspirasi kepada para pelajar dan staf UTM yang lain untuk sama-sama menyumbang dan membantu mereka yang memerlukan. Sekiranya ada yang ingin memberikan sumbangan bagi menyokong misi bantuan ini, boleh hubungi urusetia En. Khairul Zaman bin Mohd Radzi, Ketua Penyelaras Program di talian +60 13-200 6061.