April 26, 2024

Search
Close this search box.

Deklamasi Sajak Semarakkan Program Sambutan Kemerdekaan Warga Fakulti Sains

Laporan oleh: Hjh. Nor Azlinda Abu Bakar dan ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar

JOHOR BAHRU, 17 Sept – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2021, Fakulti Sains telah menganjurkan Program Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 secara maya bermula pada 29 Ogos hingga 16 September 2021.

Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan komuniti UTM, khususnya warga Fakulti.

Bertemakan Malaysia Prihatin, antara program yang terlibat adalah Webinar Merdeka, Deklamasi Sajak, pertandingan mereka bentuk pelitup muka MyMask@Kemerdekaan, Klik@Kemerdekaan, FS Patriot Virtual Run@Ride serta mewarna Merdekarya.

Program sambutan kemerdekaan peringkat Fakulti Sains dimulakan dengan Webinar Merdeka bertajuk Becoming a Developed Nation: Are We on Track? yang disampaikan oleh Pn. Hazami Habib selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Sains Malaysia pada 30 Ogos 2021.

Dekan Fakulti Sains iaitu  YBrs Prof. Madya Dr. Zaiton Abdul Majid telah dilantik menjadi Moderator bagi webinar ini.  Sementara itu, Naib Canselor UTM iaitu YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang juga selaku Pengerusi Akademi Sains Malaysia, Southern Chapter telah berbesar hati untuk turut hadir merasmikan Webinar Merdeka tersebut.

Untuk menyemarakkan semangat patriotisme, program Webinar Merdeka ini seterusnya dimeriahkan lagi dengan persembahan Deklamasi Sajak secara maya oleh staf dan pelajar Fakulti Sains.  Sebanyak 4 sajak kemerdekaan telah dipersembahkan secara rakaman video dengan durasi antara 3 hingga 5 minit oleh staf dan pelajar Fakulti Sains sebaik sahaja program webinar selesai.  Mereka yang terlibat adalah:

1.          ChM. Dr. Norazah Basar (Jabatan Kimia)

Tajuk Sajak: SebidangTanah Bernama KITA

2.          Lim Wei Wen (2 SSCC:Kimia Industri)

Tajuk Sajak: Mencintai Tanah Ini

3. Reaswina a/p Kusraju (3 SSCM :Matematik Industri)

Tajuk Sajak: Negaraku Merdeka

Ts. Dr. Naji Mahat (Jabatan Kimia)

Tajuk Sajak: Kembalikan Bangsaku Gemilang

Istimewanya, sajak ‘Kembalikan Bangsaku Gemilang’ ini merupakan hasil karya asli dari pensyarah Fakulti Sains ini sendiri.

Dalam persekitaran norma baharu mendepani pandemik COVID-19, penganjuran program seumpama ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri dan menyemai rasa cinta pada negara agar sentiasa wujud dalam hati warga Fakulti Sains.

Pihak Fakulti mengucapkan tahniah dan merakamkan setinggi penghargaan kepada staf dan pelajar Fakulti Sains yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam program yang dijalankan sempena Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat Fakulti Sains. Adalah menjadi hasrat Fakulti agar inisiatif seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.

Explore More