Oleh Syuhaida Ismail
Seramai 22 orang pelajar Diploma dari UTMSPACE yang mengambil kursus UKQF2012 (Literasi STEM), Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (iLeaGue), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur bakal mencatat sejarah dalam lanskap pendidikan negara apabila akan menganjurkan satu program service-learning STEM peringkat kebangsaan, STEM City 2021 yang julung kali diadakan.
STEM City 2021, satu program atas talian menerusi Facebook bertemakan “Experience It The New Way” yang berlangsung selama 24 jam sehari, selama 9 hari bermula 2 Oktober 2021.
Program ini turut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pusat STEM Negara, The Institution of Engineering and Technology (IET) Malaysia Local Network, Women Engineers Section The Institution of Engineers, Malaysia (WE IEM) dan Estiva Home Sdn Bhd.
Program ini turut menerima sokongan dari Malaysian Association of Creativity & Innovation (MACRI), STEM4ALL Makerspace, Ocean Thermal Energy Association (OTEA), The Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Malaysia Kuala Lumpur Subsection, Ocean Thermal Energy Centre (OTEC) UTM KL dan Green Cities and Construction Research Group (GCCRG) yang membantu mempromosikan program ini selain menganjurkan 9 ceramah STEM bagi menarik minat para pelajar ke atas mata pelajaran STEM dan seterusnya memilih STEM sebagai kerjaya pilihan mereka suatu hari nanti.
Di bawah seliaan Puan Zaimah Daud, Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail dan Cik Aqilah Abdul Safi dari Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue), program ini bakal menyaksikan lebih 20 interaktif aktiviti yang berkaitan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang ditawarkan secara percuma kepada para pelajar seawal umur 7 tahun hingga 17 tahun di semua sekolah di seluruh Malaysia. Para peserta bakal menerima e-sijil dari penganjur dan penganjur bersama selain lebih daripada 80 hadiah wang tunai bernilai lebih RM 7,000.
Melalui program ini, mentor-mentor dalam kalangan 22 pelajar kursus Literasi STEM ini akan berinteraksi bersama komuniti sasaran dan pada waktu yang sama juga berkongsi ilmu pengetahuan dalam bidang STEM. Selain itu, kemahiran komunikasi para mahasiswa UTM juga dapat dipertingkatkan sebagai satu persediaan sebelum menceburi bidang pekerjaan masing-masing.