November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Bangunan-bangunan pentadbiran dan kawasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dihias dengan Jalur Gemilang serta bendera Negeri Johor menandakan Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 UTM telah bermula.

Sambutan ini akan berlangsung selama sebulan bermula dari 17 Ogos hingga 16 September 2021.

Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj Shahuddin berkata, UTM bakal menganjurkan 33 program bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-64 yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini.

Menurut beliau, antara program menarik yang bakal dianjurkan ialah UTM Malaysia Day Thousands Steps (Virtual Walk), Knowledge Sharing / Read & Relax Edisi Khas Kemerdekaan dan Konsert Merdeka dan Kebudayaan dalam Talian dan kesemua program ini akan melibatkan seluruh warga UTM termasuk pelajar dan staf dan mengikut SOP yang ditetapkan.

PPV Integrasi UTM di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah telah dihias bertemakan patriotik

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan warga universiti dan juga komuniti setempat.

Kita mahu bangkitkan semangat patriotik dan semangat sayangkan negara terutamanya dalam kalangan generasi muda Malaysia pada hari ini. Ini penting supaya kita dapat lahirkan generasi Malaysia yang sentiasa cakna sejarah dan cintakan tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) semasa sesi lintas langsung RTM bagi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi UTM pagi tadi.

Mengulas berkenaan dengan sambutan program di dalam suasana pandemik COVID-19 ini, Abdul Razib berkata program semarak kemerdekaan ini tetap akan berjalan walaupun negara kini sedang berada di dalam situasi sukar ini.

“Kita amat memahami situasi semasa yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19 namun amat merugikan sekiranya hari penting ini dibiarkan berlalu pergi tanpa sebarang inisiatif sambutan.

Tahun ini sangat istimewa kerana kami telah terpilih untuk mengoperasikan PPV bagi memberikan suntikan vaksin kepada penduduk daerah Johor Bahru dan Kulai.

Bagi menjadikan sambutan ini lebih bermakna, para penerima vaksin yang datang ke PPV ini akan mendapat cenderahati Jalur Gemilang mini serta dihiburkan dengan tayangan pelbagai video-video yang bertemakan patriotik sementara menunggu giliran mereka dipanggil.

Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib bin Hj Shahuddin menurunkan tanda tangan dan kata-kata semangat di Wishing Board PPV Merdeka UTM

“Mereka juga diberikan pelekat khas untuk pelitup muka #merdekafromcovid dan turut dialu-alukan untuk menulis dan menyatakan harapan serta kata-kata semangat di papan tanda khas sebelum meninggalkan pusat vaksinasi selepas menerima vaksin masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai peranan institusi pengajian tinggi dalam membantu kerajaan menghayati bulan kemerdekaan ini, Abdul Razib berkata UTM sebagai sebuah universiti awam sentiasa menekankan aspek ini melalui kaedah pendidikan.

“Sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi, kami sentiasa memberikan penekanan kepada objektif asal penubuhan kami iaitu memberikan pendidikan tinggi kepada masyarakat.

“Di sinilah peranan ini dimainkan melalui kaedah pendidikan dimana para mahasiswa diberikan pendedahan kepada aspek kenegaraan Malaysia agar dapat melahirkan warganegara yang sentiasa bersyukur dan mempertahankan kemerdekaan yang telah dikecapi,” katanya lagi.

Sambutan ini juga diadakan untuk mendidik warga UTM agar sentiasa bersemangat patriotisme, mempunyai jati diri serta berintegriti agar dapat berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

“Dengan penganjuran ini juga kita berharap warga UTM serta masyarakat sentiasa memperingati dan menghargai pengorbanan wira-wira negara yang telah berjuang demi kemerdekaan negara,” katanya menutup perbualan.

Kakitangan UTM memasang Jalur Gemilang dan juga pelbagai hiasan di sepanjang jalan menuju ke PPVUTM sebagai sebahagian dari Program Semarak Kemerdekaan 2021.

Krew RTM turut menurunkan tanda tangan di Wishing Board PPV UTM

Explore More