April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Manhaj Rabbani adalah satu dasar semasa yang dipelopori kerajaan bagi membolehkan rakyat dan negara menjalani kehidupan sebagai satu entiti yang beragama.

Manhaj membawa maksud metodologi atau jalan untuk mencapai matlamat manakala Rabbani pula merujuk kepada kaedah atau pendekatan bagi mencapai sesuatu objektif

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur (UTMKL), Prof. Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata konsep Manhaj Rabbani ini adalah sesuai dengan realiti negara Malaysia ini yang dihuni oleh pelbagai kaum.

“Konsep ini sememangnya bersesuaian dengan negara kita yang rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum, agama dan adat budaya ini.

Ini kerana ketika junjungan kita Nabi Muhammad SAW melakukan hijrah dari Mekah ke Madinah, tidak semua penduduk kota Madinah yang beragama Islam ketika itu malahan fakta sejarah mengatakan bahawa penganut agama Allah SWT ini adalah minoriti ketika itu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai konsep Manhaj Rabbani dalam Forum Merdeka 64: Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti anjuran Pusat Islam UTM sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-64.

Forum itu juga telah disertai oleh Pensyarah Kanan Sekolah Perdana, Fakulti Teknologi Informatik Razak, UTM Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali. Program ini telah dihoskan oleh Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM Johor Bahru.

Menurut Dr Fathi lagi, ketika diangkat menjadi pemimpin di Kota Madinah, Nabi Muhammad tidak menindas, menyiksa orang bukan Islam serta tidak memaksa mereka untuk memeluk Islam.

Menutup diskusinya Dr Muhammad Fathi berkata seharusnya tidak timbul sebarang isu yang kurang menyenangkan berkenaan dengan perlaksanaan perkara ini di Malaysia sekiranya konsep ini difahami dengan jelas oleh anggota masyarakat.

“Seharusnya tidak ada sikap benci membenci antara kita disebabkan oleh perbezaan agama, budaya dan juga ideologi politik.

Sebagai ilmuan di universiti, saya melihat kita berada di tempat yang sesuai untuk mengubah masyarakat dan negara kearah yang lebih positif dan seharusnya tidak patut ada rasa sangsi dan takut di kalangan kita untuk memulakan perkara yang baik ini,” katanya lagi.

Sementara itu Dr Mazlan Ali ketika membicarakan perkara ini menegaskan kejayaan perlaksanaan polisi ini adalah bergantung kepada bagaimana positif warga Malaysia menerima dasar ini.

“Walau apa pun konsep dan dasar yang diperkenalkan, ia tidak boleh dipisahkan dari syariat dan aqidah yang telah lama digariskan dalam Islam.

Ini adalah hakikat yang perlu diterima di negara Malaysia ini dan hakikat inilah juga yang membezakan antara umat Islam dan juga bukan Islam,” katanya lagi.

Menurut Dr Mazlan lagi, apa sahaj polisi kerajaan adalah berkaitan dengan cara bagaimana pemerintah ini membentuk keperibadian dan konteks pemerintahan sesuatu kerajaan itu.

“Sepanjang pemerintahan demokratik di Malaysia ini pelbagai dasar telah digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan untuk faedah rakyatnya.

“Sebagai contohnya dasar Islam Hadhari yang dipelopori sebelum ini bertujuan untuk membina dan memantapkan rakyat Malaysia dengan ciri-ciri akhlak dan pegangan Islam yang kukuh,” katanya lagi.

Konsep Wasatiyah pula adalah satu pendekatan untuk membentuk masyarakat pelbagai kaum dan agama yang bersifat toleransi serta mengelakkan bersifat eksktrim yang negatif.

“Manhaj Rabbani laksanakankan satu konsep penghayatan dalam konteks berkerajaan dan juga mengajak rakyat negara ini menghayati kehidupan dalam masyarakat majmuk,” katanya lagi.

Menggulung pendapat masing-masing, Dr Muhammad Fathi berkata konsep Mahhaj Rabbani ini mengajak rakyat Malaysia khasnya bagi yang beragama Islam supaya tidak bersifat negatif kepada penganut agama lain.

“Jangan tanamkan sifat kebencian hanya kerana perbezaan kaum, agama dan ideologi politik kerana sikap seperti ini hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.

Golongan pendidik di universiti juga perlu memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan ini dalam menghapuskan golongan ekstimis dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini,” katanya.

Peranan golongan pendidik ini sememangnya penting dalam membentuk graduan yang akhirnya akan menyertai dan membentuk masyarakat Malaysia di masa akan datang.

“Kita di universiti ini perlu memberikan perhatian yang sewajarnya kepada perkara ini kerana kita berada di posisi yang mempu untuk mengubah lanskap kehidupan dan ketamadunan negara pada masa hadapan,” katanya lagi.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam UTM Johor Bahru dan dilangsungkan melalui kaedah dalam talian serta dihoskan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Islam UTM Johor Bahru, Dr. Mohd Nasir Masroom.

Explore More