Disember 26, 2024

Perkembangan teknologi dalam era digital, revolusi industri 4.0 serta pandemik Covid-19 telah merancakkan lagi penggunaan dan membuka mata lebih banyak lagi tentang kepentingan teknologi untuk tujuan pendidikan.

Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai platform di media sosial yang memberikan ruang untuk setiap individu berkarya, melontarkan idea dan berkongsi pandangan tanpa batasan telah melahirkan ramai ‘instafamous’ dan ikon media sosial.

Selain itu, keberkesanan penggunaan laman sesawang YouTube dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) serta untuk tujuan berkongsi ilmu dan kepakaran ini telah mendorong seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencuba sisi lain daripada mengajar secara formal dalam kelas kepada ‘bersyarah’ di media sosial.

Pensyarah yang dimaksudkan ialah Dr Muhammad Hasbullah Padzillah dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan.

Beliau yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal telah menerbitkan video informatik berbentuk penerangan teknologi automotif dengan pendekatan yang sangat santai dan sesuai dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih menarik lagi video yang disiarkan melalui saluran Hasbullah Syarah di laman sesawang YouTube ini telah menerima kira-kira 147,000 pengikut dan lebih 10 juta tontonan walaupun baru bertapak tidak sampai setahun yang lalu.

Beliau pernah menarik perhatian dunia sebelum ini apabila berjaya memecah rekod menjadi graduan termuda bergelar doktor falsafah iaitu pada usia 25 tahun dari Imperial College London, United Kingdom.

Dr Hasbullah semasa majlis konvokesyen beliau

Ketika diwawancara oleh Seksyen Hal Ehwal Korporat (HEK), Dr Hasbullah berkata beliau terpanggil untuk memuatnaik videonya setelah terkesan dengan beberapa kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kenderaan.

“Selain itu, kes kematian tiga sekawan akibat terhidu gas karbon monoksida sewaktu berehat dalam kenderaan mereka juga merupakan antara penyebab saya memulakan saluran Hasbullah Syarah ini. 

Bagi saya perkara sebegini sangat mengerikan kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah keluarga kita sendiri.

Disebabkan itu, saya berasa terpanggil untuk membantu semampu yang boleh dengan berkongsi ilmu kepada masyarakat bagi mengurangkan kemungkinan tragedi ini berulang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut tentang penggunaan laman Youtube dalam menyampaikan syarahan mengenai teknologi automotif pula, Dr Hasbullah berkata proses pengajaran bersifat santai terutamanya jika berkaitan dengan situasi masa kini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran.

“Pembinaan saluran berbentuk pendidikan di YouTube pada asasnya sangat sukar kerana terdapat pelbagai genre lain yang lebih menarik seperti hiburan dan sukan.

Jika kita ingin membina saluran seperti ini, ia perlulah bersifat santai serta menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, “katanya lagi.

Dr Hasbullah berkata penonton-penonton video beliau datang dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar-pelajar di pelbagai peringkat pengajian serta individu yang meminati bidang automotif ini.

“Video saya lebih bersifat teori dan penjelasan secara saintifik di sebalik sesuatu isu berkaitan kenderaan.

Ini memudahkan saya membuat penerangan tentang enjin kenderaan secara am sekaligus  memberikan pengetahuan kepada semua orang yang ingin tahu tentang enjin tanpa membataskan kepada jenama dan model tertentu sahaja,” katanya lagi.

Antara isi perkongsian dalam saluran Hasbullah Syarah ialah isu semasa dalam teknologi automotif dan juga teknologi dalam enjin kereta secara umum.

‘Saya juga berkongsikan perkara yang boleh merungkai persoalan dan mitos-mitos penjagaan kereta seperti keperluan untuk kita memanaskan enjin di waktu pagi dan juga memasukkan gear Neutral atau N sewaktu berhenti di lampu isyarat bagi pengguna transmisi automatik.

“Untuk perkongsian yang lebih umum, video saya juga pernah muncul di media online yang popular seperti ML Studios dan juga The Vocket. Kemunculan di saluran besar ini dapat memanfaatkan lebih ramai pendengar dengan adanya penjelasan teknikal yang dapat memberikan lebih kefahaman kepada golongan ini,” katanya lagi.

Ditanyakan tentang harapannya melalui penggunaan saluran YouTube dalam memberikan pendidikan tentang teknologi automotif ini, Dr Hasbullah yang telah menerbitkan sebanyak 150 siaran video ini berkata beliau akan meningkatkan lagi perkongsian melalui medium sama pada masa hadapan.

“Harapan saya adalah supaya perkongsian yang saya berikan di YouTube dapat dijadikan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Malaysia.

Perkongsian maklumat yang tepat sangat penting di era teknologi maklumat ini supaya masyarakat tidak keliru dan mempercayai berita palsu,” katanya lagi.

Dr Hasbullah berkata bagi mengelakkan perkongsian maklumat yang tidak tepat, kajian yang komprehensif akan terlebih dahulu dilaksanakan sebelum perkongsian di YouTube dilakukan.

“Untuk setiap sesi perkongsian, saya akan cuba pastikan kajian yang komprehensif dibuat secukupnya sebelum menerbitkan sebarang bahan di situ. Ini amat kritikal kerana sebarang kesilapan pasti sahaja akan merosakkan kefahaman minda khalayak sasaran,” katanya.

Dr Hasbullah juga berharap mana-mana individu di luar sana yang mempunyai sesuatu yang dapat memberikan manfaat kepada orang ramai supaya berkongsikan perkara itu di YouTube.

“Anda boleh mencuba untuk menerbitkan video pertama dan kemudiannya buatkan penambahbaikan untuk terbitan yang seterusnya. Cabaran paling besar adalah untuk menerbitkan video anda yang pertama.

“Pastikan video anda mempunyai bahan yang dapat difahami dengan mudah oleh khalayak yang lebih umum di samping bahasa yang digunakan mudah difahami oleh penonton,” katanya lagi.

Antara video beliau yang tular di YouTube :

Explore More