Disember 25, 2024

UTM diibaratkan sebagai sebuah pasukan bola sepak. Dengan perancangan strategik dan kerjasama erat pastinya akan membuahkan kejayaan

JOHOR BAHRU, 14 Julai – Disiplin, dedikasi dan kerja keras sangat penting dan perlu diterapkan dalam diri setiap warga Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ) bagi mencapai kecemerlangan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM adalah ibarat sebuah pasukan bola sepak yang mampu mencapai kemenangan dengan kaedah perancangan strategik, disiplin, dedikasi dan kerja keras warga serta kerjasama erat antara pemain.

“Sesebuah pasukan bola sepak itu tidak hanya boleh bergantung kepada tahap populariti yang dikecapinya pada setiap masa sebaliknya perlukan kemahiran untuk mengatur jentera serangan kesebelasan utama dengan teliti.

Sesebuah pasukan bola sepak yang cemerlang haruslah mempunyai taktikal dan strategi, disiplin dan dedikasi serta yakin dan fokus, “kata beliau.

Menurut beliau juga, pasukan ini juga sudah semestinya mempunyai semangat berpasukan dan setiakawan yang tinggi serta hormat menghormati antara satu sama lainnya di samping membina karekter dan personaliti di kalangan pemain.

“Pemain yang bermain dengan pasukan cemerlang ini juga diberikan peluang untuk membina keyakinan diri dan semestinya mempunyai badan serta minda yang cerdas dan sentiasa mencari peluang untuk mencipta kemenangan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Majlis Bersama Naib Canselor bagi bulan Julai 2021 yang disiarkan secara dalam talian lewat pagi tadi.

Mengulas tentang Aqkecemerlangan UTM yang diibaratkan seperti pasukan bola sepak, Prof. Fauzi mengaitkan perumpamaan bahawa staf universiti adalah diumpamakan seperti pemain yang bermain untuk pasukan bola sepak itu.

“Untuk menjadikan organisasi cemerlang, staf yang berkhidmat perlulah mengetahui Nilai Asas (Core Values) organisasi itu kerana dengan kefahaman ini akan memberikan motivasi untuk staf bekerja dengan lebih baik.

“Mengambil konteks UTM, setiap staf harus tahu bahawa universiti yang mereka khidmati ada empat Nilai Asas iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan (Excellence) dan Kelestarian (Sustainability) atau ISES,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata seharusnya nilai asas ini menjadi nilai murni bagi setiap Pusat Tanggungjawap (PTJ) dan juga nilai ini boleh digunakan bagi menginstitusikan UTM itu sendiri.

Menyentuh mengenai strategi untuk meneruskan ‘kehidupan’ dalam saat sukar seperti ini, kelestarian kewangan memainkan peranan penting malah menjadi keutamaan berbanding dengan faktor lainnya.

“Terdapat enam strategi yang boleh UTM gunakan iaitu menjaga poket kita dan membuat persiapan awal dalam jangkaan pengurangan dana kerajaan.

“Kita juga seharusnya mencari alternatif lain dengan tujuan mendapatkan bantuan kewangan dari kerajaan melalui kaedah penyaluran geran Universiti Penyelidikan (RU), penyelidikan dan pembangunan,” katanya lagi.

UTM juga menurut Prof. Fauzi berusaha meningkatkan simpanannya melalui kaedah Dasar Pemulihan Kos (Cost Recovery Policy) di mana setiap program yang dijalankan mampu menyumbang kembali sumbangan kewangan kepada tabung peruntukan mengurus universiti.

“UTM juga boleh mempraktikkan pengutamaan polisi pulangan pelaburan (Return of Investment) atau RoI.  Di bawah polisi ini, setiap pelaburan yang dilakukan haruslah berpotensi untuk memberikan pulangan yang menarik.

“Strategi yang akhir adalah menanam dalam minda kita untuk menerima setiap inisiatif kelestarian kewangan universiti. 

Inisiatif ini bermaksud kita harus menerima hakikat yang perbelanjaan yang dibuat adalah mengikut garis pendapatan universiti,” katanya lagi.

Kelestarian kewangan UTM juga diluaskan melalui kelulusan Polisi Pengurusan Aset Tak Alih universiti yang telah pun diluluskan di Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti bilangan 110 pada 5 Januari 2021.

“Tujuan pengenalan polisi ini adalah bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan berasaskan misi dan visi universiti di samping meningkatkan potensi penjanaan sumber kewangan menerusi aset yang lebih berdaya maju.

“Polisi ini juga dapat meningkatkan integrasi pemberdayaan sumber melalui aspirasi nilai teras universiti,” katanya lagi.

Program ini telah dirakam di Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (Center for Teaching and Learning) atau CTL, UTM Johor Bahru dan disiarkan secara dalam talian di laman sosial Facebook UTM Community.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika menyampaikan amanat di Majlis Bersama Naib Canselor bulan Julai 2021 di Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (CTL), UTM Johor Bahru. Siaran ucapan beliau telah disiarkan secara dalam talian (online) melalui laman sosial Facebook bertajuk UTM Community.

Explore More