April 20, 2024

Search
Close this search box.

Budayakan Penyelidikan Berteraskan Kecemerlangan Kesarjanaan – TNCPI

JOHOR BAHRU, 21 Jul. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) perlu menerapkan budaya penyelidikan yang berteraskan kecemerlangan kesarjanaan atau scholarly excellence dalam usaha untuk memperkasa UTM sebagai Universiti Penyelidikan dan hasil penyelidikan UTM kekal relevan. 

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr Rosli Md.Illias berkata, kita perlu mengutamakan kualiti kerana hasil daripada penyelidikan yang berkualiti akan menghasilkan penerbitan dan juga teknologi serta produk yang berkualiti.

Bagi mencapai matlamat tersebut, antara strategi yang akan dilaksanakan adalah menumpukan kepada penyelidikan yang berteraskan transdisiplin dan translational,” kata beliau. 

Menurut beliau, Blueprint Penyelidikan dan Inovasi 2025 merupakan salah satu pelan strategi dengan memberi penekanan yang lebih agresif untuk meningkatkan kualiti penyelidikan di UTM. 

“Terdapat 4 pillars yang menjadi tonggak kekuatan dan impak penyelidikan di UTM iaitu staf, kewangan, infrastruktur dan sistem pengurusan. 

Selain itu, 5 objektif strategik juga diwujudkan agar dapat mengoptimum dan memperkukuhkan kecemerlangan ilmiah, budaya dan persekitaran penyelidikan di UTM,”kata beliau. 

Menurut beliau lagi, strategi dan inisiatif Blueprint ini telah disusun secara komprehensif sepanjang 5 tahun dalam usaha menjadikan UTM sebagai Universiti penyelidikan bertaraf dunia. 

“Penambahbaikan dan pengukuhan akan dilaksanakan berasaskan kepada perancangan yang telah dibuat untuk memastikan UTM terus cemerlang dan relevan di dalam Penyelidikan dan Inovasi (R&I). 

Oleh itu kita akan memberi fokus kepada 9 Research Signature Areas seperti di dalam Blueprint dan dalam masa yang sama membangunkan bakat yang berfikiran kritis dan inovatif serta menyediakan ekosistem penyelidikan yang kondusif dan lestari kepada para penyelidik UTM.

Selain itu bagi terus memperkasakan usaha UTM dalam memasyarakatkan universiti melalui UTM Mensejahterakan Kehidupan atau Prospering Lives, beliau berkata sebuah entiti khas sesuai ditubuhkan bagi membolehkan pihak universiti memantau serta memperolehi maklumat berkenaan keperluan semasa masyarakat dan negara seterusnya berkongsi hasil penyelidikan yang berkaitan dengannya.

“Universiti tidak wujud secara bersendiri dan telah menjadi peranan dan tanggungjawab UTM untuk mencorakkan penyelidikan yang berteraskan Sains dan Teknologi. 

Ia bukan sahaja memberi impak yang besar kepada perkembangan ilmu tetapi lebih penting dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat seperti peningkatan taraf hidup, kesedaran sosial dan juga dalam konteks R&I di mana teknologi kita seharusnya dapat menyelesaikan isu-isu komuniti,”kata beliau. 

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara oleh staf Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) sempena pelantikannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) universiti ini untuk tiga tahun berkuatkuasa dari 15 Jun 2021 yang lalu.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr Rosli Md.Illias semasa menerima pelantikan daripada Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail

Ditanya tentang sasaran dan hala tuju untuk universiti untuk masa hadapan, beliau merasakan UTM bukan sahaja perlu menjadi pengeluar teknokrat tetapi apa yang lebih penting adalah menghasilkan teknologi serta inovasi yang dapat meningkatkan wealth creation dan kesejahteraan masyarakat.

Menyandang jawatan TNCPI bukanlah sesuatu yang mudah, oleh itu beliau berharap agar setiap warga UTM perlu menerapkan nilai-nilai ISES iaitu Integriti, Kelestarian, Keunggulan dan Sinergi. 

Blueprint Penyelidikan dan Inovasi dan enVision 2025 perlu dijadikan rujukan untuk warga UTM dan akan membantu memperkukuhkan lagi sistem penyelidikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,

Walau bagaimanapun, komitmen sepenuhnya dari warga UTM diharapkan bagi mencapai matlamat Blueprint, “akhiri beliau.

Akhir kata beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan Blueprint Penyelidikan dan Inovasi UTM 2025 ini dari awal, reka bentuk, perancangan, dan penerbitannya. 

Blueprint Penyelidikan dan Inovasi UTM 2025 boleh dilayari di https://research.utm.my/blueprint/

Explore More