April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Julai – Seramai 485 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dihantar pulang secara berperingkat ke kampung halaman masing-masing sebagai sebahagian dari inisiatif ‘Ops Bring Student Home 3.0’.

Daripada jumlah ini, seramai 67 orang dihantar pulang pada 15 Julai diikuti 95 orang pada 16 haribulan, 36 orang (17 haribulan), 190 orang (18 haribulan) dan 101 orang pada 19 Julai.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Ops Hantar Pulang Pelajar 3.0 UTM berkata pergerakan pulang adalah menggunakan kenderaan universiti, sendiri dan juga penerbangan awam (bagi mahasiswa dari Sabah dan Sarawak).

“Ibubapa serta penjaga pelajar tidak dibenarkan untuk rentas daerah dan negeri untuk mengambil mahasiswa. 

Urusan pengangkutan diuruskan sepenuhnya oleh universiti dalam menyempurnakan misi ini.

Mahasiswa terlibat juga tidak perlu ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri. 

Surat ini akan dikeluarkan kepada pelajar melalui aplikasi UTMSmart yang boleh dimuaturun ke dalam telefon pintar masing-masing,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail ke Dataran UTM bagi menyempurnakan majlis penghantaran pulang mahasiswa UTM dengan menaiki bas universiti.

Turut menyertai program adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Hamdan Ahmad.

Pergerakan ke kawasan yang sedang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) adalah ditangguhkan sementara sehingga tamat perintah kawalan di tempat itu.

“Dalam menjayakan misi ini, pihak UTM juga mengamalkan langkah-langkah keselamatan bagi meminimakan kesan jangkitan iaitu membawa penumpang pada tahap separuh dari jumlah muatan sebenar.

“Para pelajar dari Sabah, Sarawak dan juga Labuan juga dikehendaki untuk menjalani ujian calitan (swap test) dan dipastikan berada dalam status kesihatan yang baik serta bebas jangkitan sebelum dibenarkan menaiki pesawat terbang itu,” katanya lagi.

Pelajar diminta untuk mengemukakan Borang Deklarasi Kesihatan untuk diri masing-masing dan mengimbas kod keselamatan di aplikasi MySejahtera serta di surat kebenaran universiti di samping mengimbas sistem pergerakan keluar masuk sebelum dibenarkan untuk bergerak keluar dari kampus.

“Bagasi dan juga kenderaan yang dinaiki pelajar juga dimestikan menjalani proses sanitasi yang dikelolakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kesemua pelajar yang menyertai operasi hantar pulang ini wajib menjalani kesemua tapisan dan syarat yang ditetapkan tanpa ada seorang pun dari mereka terlepas manjalani ujian yang telah ditetapkan oleh pihak universiti,” katanya lagi.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM sedang memberikan nasihat dan pesanan kepada mahasiswa yang terlibat dalam Operasi Penghantaran Pulang Pelajar 3.0 UTM di Dewan Alumni, UTM Johor Bahru.
Prof. Fauzi mengiringi mahasiswa UTM menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Prof. Fauzi (berbaju biru cerah) dan pengurusan kanan universiti melambai tangan kearah bas yang membawa mahasiswa UTM pulang ke kampung halaman masing-masing

Explore More