UTM – MPAJ Pacu Projek ‘PREVENT-LANDSLIDE’, Kerjasama Dalam Bidang Kerentanan Tanah Atasi Bencana Melalui MoA

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysian-Jepun (MJIIT) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Negeri Selangor telah menandatangani sebuah Memorandum Perjanjian (MoA) dari segi ilmiah dan teknikal untuk menilai kerentanan tanah runtuh dan risiko berkaitan bencana tanah runtuh.

Perjanjian ini berikutan kerjasama erat selama setahun antara UTM dan MPAJ melalui Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), MJIIT di bawah projek Preventing Future Landslide Disaster Risk by Science, Technology and Innovation in Selangor (PREVENT-LANDSLIDE) yang telah berlangsung sejak September 2020 lalu.

Kerjasama ini juga dijalankan bertujuan untuk memberi pandangan serta cadangan yang lebih baik dalam mencegah risiko bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada masa hadapan berasaskan sains, teknologi dan inovasi.

Ia juga bagi menyokong penggubalan strategi pengurangan risiko bencana tempatan di Malaysia.

Dilangsungkan secara maya, UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail dan MPAJ Negeri Selangor diwakili oleh Yang Dipertua, Tuan Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Majlis menandatangani MoA tersebut turut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari.

DPPC ialah pusat penyelidikan yang memfokuskan kepada menjalankan penyelidikan dan latihan pelbagai disiplin tentang pengurusan bencana dan keselamatan awam di peringkat nasional dan Asia Tenggara (ASEAN).

DPPC merupakan antara aset UTM yang berpotensi menjadi pusat penyelidikan dan latihan bertaraf dunia berkaitan bencana dan perubahan iklim.

Penubuhan DPPC sejajar dengan hasrat Kementerian dalam penjimatan kos dan mengoptimumkan sumber, membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan bencana yang dapat memberikan manfaat serta memberikan kebaikan bukan hanya kepada pihak komuniti dan negara khususnya malahan untuk rantau ASEAN keseluruhannya.

Melalui kerjasama ini, pelbagai dasar dan strategi di peringkat negeri akan dilaksanakan dengan sokongan pihak berkepentingan dan agensi-agensi tempatan.

Kajian yang dijalankan ini memberi satu set tindakan utama dan penyelesaian teknikal berdasarkan sains dan teknologi dalam mengenal pasti penyebab risiko tanah runtuh, mencadangkan langkah pencegahan, dan menyokong perancangan pembangunan tempatan yang mengambil kira pengurangan risiko bencana (DRR) dalam menyokong sasaran global Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030, Agenda Bandar Baru dan Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari (New Urban Agenda dan 2030 Agenda for Sustainable Development) dalam perubahan iklim.

Projek kajian PREVENT-LANDSLIDE dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor yang bertujuan untuk menilai kerentanan dan risiko tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 30 Mei 2020 di Taman Kelab Ukay dan Mukim Hulu Kelang Gombak.

Inisiatif ini juga turut disokong oleh projek 4 tahun yang dibiayai oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) Jepun di bawah Japan Partnership Program (JPP).

Salah satu objektif inisiatif ini adalah untuk memberi pemahaman berasaskan sains mengenai risiko bencana di kalangan pemimpin masyarakat, anggota dan pihak berkuasa tempatan.

Analisis risiko berasaskan pengetahuan sains adalah pendekatan yang strategik dan praktikal yang dapat digunakan dengan berkesan untuk membangun daya tahan masyarakat di rantau ini.

Seperti yang dinyatakan dalam visi UTM iaitu menjadikan UTM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan teknologi bertaraf dunia, kerjasama ini adalah amat sejajar dengan misi UTM dan DPPC untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif yang akan menyumbang kepada negara.

Dengan mengambil pendekatan ilmiah dan berasaskan sains dalam menunjukkan risiko kepada pemangku kepentingan masyarakat, pengurusan risiko yang strategik ini lebih mampu meyakinkan penduduk untuk belajar, merancang, menerapkan dan mengambil tindakan proaktif dalam melindungi rumah, harta benda dan kehidupan mereka secara jangka panjang dan mampan.

Bagi menyokong kesinambungan projek ini, roadmap 10 tahun telah dicadangkan untuk mempertimbangkan strategi, keutamaan untuk tindakan, dan program/inisiatif sesuai dengan Pelan Pembangunan Struktur Negeri Selangor 2025, Smart Selangor 2025, Pelan Induk Cerun Nasional 2009 -2023, Kerangka Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030, dan beberapa agenda nasional, serantau dan global lain untuk mengurangi risiko tanah runtuh, mencegah risiko di masa depan, dan memperkuat daya tahan masyarakat di Negeri Selangor.

Diharapkan agar usaha dan inisiatif oleh DPPC, MJIIT UTM dan MPAJ Negeri Selangor ini dapat diteruskan dan dapat memberi manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan dan semua lapisan masyarakat dalam membangunkan budaya pencegahan, mitigasi kesiapsiagaan dan pemulihan yang berkaitan dengan kejadian bencana.

UTM dan MPAJ selesai meterai Memorandum Perjanjian (MoA) secara maya disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.
Projek Kerjasama antara UTM dan MPAJ melalui Disaster Prevention & Preparedness Centre (DPPC)

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *