Disember 22, 2024

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat komited dalam melaksanakan peranannya dalam menyemai, membimbing dan melahirkan pelajar yang mempunyai daya fikiran serta meningkatkan kompetensi keusahawanan ke arah pembentukan ekosistem keusahawanan di UTM.

Ini berlandaskan kepada cogan kata UTM iaitu Inovatif, Entrepreneurial dan Global.

Pada Mac 2013, UTM Technology Entrepreneurship Centre (UTMTEC) telah ditubuhkan melalui mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan kemudiannya menukar nama menjadi UTM Centre for Student Innovation & Technology (UTMXCITE) hasil penggabungan dengan Centre for Student Innovation (CSI) pada Oktober 2017.

Penubuhan ini bertujuan untuk mengawal sebarang aktiviti keusahawanan pelajar yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang universiti.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan memberi panduan kepada pelajar dalam melaksanakan aktiviti keusahawanan dalam UTM. 

Seterusnya, UTM telah menganjurkan pelbagai program keusahawanan bagi memupuk semangat baharu kepada pelajar UTM bagi memulakan perniagaan mereka sendiri.

Meskipun negara kita sedang dilanda pandemik, UTM masih tidak putus asa menganjurkan program untuk pelajar UTM secara dalam talian.

Salah satu program yang dianjurkan oleh UTMXCITE adalah webinar keusahawanan di mana mereka menjemput pelajar UTM yang telah berjaya membina platform perniagaan sendiri untuk memberi perkongsian terhadap perjalanan dan cabaran beliau sebagai seorang pelajar dan juga seorang ahli perniagaan.

Di samping itu, program ini telah dijalankan di FB Live bagi memudahkan lebih ramai pelajar untuk menyertai webinar ini dan seterusnya dapat memberi pendedahan secara meluas kepada seluruh warga UTM.

Selain itu, UTMXCITE tidak lupa untuk mengadakan program yang melibatkan pengetahuan berkenaan SDGs atau Sustainable Development Goals iaitu sebuah program pembangunan dunia yang mana memiliki tujuan untuk mensejahterakan masyarakat dunia dan melestarikan alam dengan koleksi 17 matlamat global yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.

SDGs ini berkait rapat dengan teknologi keusahawanan untuk masa hadapan, justeru webinar ini dijalankan bagi menambah pengetahuan pelajar dan seterusnya dapat melahirkan pelajar-pelajar UTM yang mampu mencapai salah satu matlamat global tersebut.

Pelbagai program dianjurkan bagi menyemarakkan semangat keusahawanan dalam diri setiap pelajar. Salah satu kemahiran yang diperlukan oleh seorang graduan adalah kemahiran berdaya usaha atau ‘enterprising skills’.

Tambahan pula, kemahiran ini bukan sahaja diperlukan dalam ekosistem perniagaan tetapi juga diperlukan oleh para majikan dalam mencari tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam organisasi mereka.

Justeru, antara ikhtiar dan daya usaha yang telah dilaksanakan oleh UTM adalah mewajibkan pelajar mendaftar ‘Go-Ecommerce’ yang ditubuhkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). ‘Go-Ecommerce’ adalah platform keusahawanan dalam talian bagi membantu pelajar dalam membina dan menyimpan rekod-rekod perniagaan.

Selain itu, ‘Student Mall’ juga ditubuhkan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menjalankan perniagaan. Pelajar-pelajar juga diwajibkan untuk mengambil dua subjek keusahawanan iaitu Pengenalan Kepada Keusahawanan dan  Seminar Keusahawanan. Hal ini bertujuan bagi memberi garis panduan dan menggalakkan pelajar dalam memperkasakan bidang keusahawanan.

Seterusnya, Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE) juga diwujudkan bagi merangka dan menganjurkan pelbagai program-program pembangunan keusahawanan berimpak tinggi yang bukan sahaja terhad kepada pelajar UTM malahan juga dijalankan di seluruh Malaysia.

UTMXCITE telah banyak melaksanakan jalinan kerjasama dengan pelbagai pemegang-pemegang taruh di Malaysia dalam pembangunan inovasi dan keusahawanan negara seperti Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Perbadanan Usahawan Johor, SME Corporation dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain.

Merujuk kepada inisiatif-inisiatif yang telah ditawarkan oleh UTM terhadap pendedahan keusahawanan kepada pelajar, terdapat beberapa impak positif yang telah dikenal pasti dapat membantu pelajar dalam keusahawanan.

Dengan adanya program-program yang ditawarkan, ia telah memberi pendedahan secara terperinci dan mewujudkan semangat daya saing dalam kalangan pelajar. Hal ini dapat dilihat dengan jemputan ahli perniagaan yang terdiri dari kalangan Alumni UTM dan sebilangan besarnya telah bermula menjadi usahawan ketika bergelar seorang pelajar.

Menurut ahli jemputan, dorongan terbesar dalam peningkatan produk keusahawanan mereka adalah dengan wujudnya bantuan dari pihak UTM seperti menyediakan platform pendaftaran perniagaan yang percuma, menyediakan ruang untuk pelajar melakukan pitching terhadap produk serta menyediakan platform yang kondusif bagi pembelajaran.

Oleh itu, dengan pendedahan ini, pelajar akan mempunyai pemikiran supaya lebih berdaya saing dalam menjadi seorang usahawan selepas melihat impak-impak positif dari program-program yang dianjurkan oleh UTM. 

Selain itu, kepelbagaian program yang ditawarkan oleh UTM telah mencetus idea-idea baharu dan meningkatkan kreativiti dalam kalangan pelajar. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya subjek seperti UHAK – Pengenalan Kepada Keusahawanan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan satu idea berdasarkan kretiviti masing-masing yang mana secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk berfikir di luar kotak.

Sebagai seorang pelajar, program ini memberi impak yang sangat positif dalam cetusan idea-idea bernas terhadap produk baharu atau melakukan penambahbaikan terhadap produk yang sedia ada di pasaran.

Justeru, kewujudan program-program dan insentif-insentif yang ditawarkan oleh UTM telah memberi kesan kepada pemikiran pelajar iaitu dengan mewujudkan satu pandangan yang lebih meluas dalam bidang keusahawanan. 

Sehingga kini pada 2021 UTM kekal aktif dalam menyediakan pelbagai program dan seminar yang berintipatikan keusahawanan bersesusaian dengan cogan kata UTM iaitu ‘Innovative, Entrepreneurial dan Global’.

UTM berharap dengan wujudnya program-program seperti ini, pelajar akan mendapat pendedahan tentang ilmu keusahawanan lalu merealisasikan ilmu tersebut setelah melangkah keluar dari UTM seperti menubuhkan perniagaan sendiri, melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berasaskan usahawan serta dapat memberikan faedah dan input kepada masyarakat. 

Program-program Keusahawanan yang dianjurkan oleh UTMXCITE

Disediakan oleh: Noor ‘Aliah ‘Afifah Mohd Ishak, Nurhafizah Shukri, Nur Athirah Manaf, Nurhasnatul Aida Suhizlizani Ihsan & Siti Norhanisa Nasir

Penasihat: Encik Hairuddin Abdul Majid

Explore More