April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kenyataan Universiti : Penamatan PKPD di UTM Johor Bahru

KENYATAAN UNIVERSITI

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)

PENAMATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) JOHOR BAHRU

Sukacita dimaklumkan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di UTM Johor Bahru ditamatkan sebagaimana yang dijadualkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Jun 2021.  Penamatan dilaksanakan setelah penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ianya selaras dengan pengesahan KKM dimana kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan. Penamatan ini adalah sebagaimana kenyataan media oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 2 Jun 2021. 

2.     Sehubungan dengan itu, pihak universiti ingin merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua agensi terlibat (terutamanya MKN, Pejabat Daerah Kulai, KKM, JKM, PDRM, JPAM, dan RELA) yang telah bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha membantu komuniti universiti terutamanya pelajar menjalani tempoh PKPD dengan lancar dan jayanya. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan juga dipanjangkan kepada semua penyumbang individu, komuniti, persatuan dan syarikat yang telah menyumbang ke Tabung Prihatin COVID-19 serta pelbagai aktiviti dan sumbangan barangan keperluan harian tanpa henti. Menjunjung setinggi-tinggi kasih juga kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah atas keprihatinan dan kemuliaan hati Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengurniakan juadah makanan, pelbagai keperluan, bantuan serta pelaksanaan aktiviti yang telah disampaikan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

3.     Kejayaan ini juga tidak dapat dilaksanakan tanpa kegigihan dan kecekalan petugas barisan hadapan UTM. Kepada para petugas barisan hadapan universiti serta para sukarelawan yang turut membantu yang terdiri daripada staf dan pelajar, tiada ucapan setimpal dapat diberikan dan didoakan mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah S.W.T.

4.     Dengan mengambil kira langkah keselamatan serta transisi pasca PKPD dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021, pihak pengurusan universiti telah memutuskan beberapa perkara berkaitan pengoperasian universiti. Perkara yang diputuskan ini adalah penting dalam membantu pihak universiti meneruskan usaha memutuskan rangkaian wabak. Antara perkara berkaitan adalah:-

4.1   Pergerakan Pelajar

(i)     Semua pelajar adalah TIDAK DIBENARKAN keluar masuk kampus UTM JB bermula 4 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021. Manakala bagi UTMKL sekatan keluar masuk kampus adalah bermula 1 hingga 14 Jun 2021. 
(ii)     Pergerakan pelajar dalam kawasan kampus adalah dibenarkan KECUALI bagi pelajar-pelajar yang sedang menjalani proses kuarantin diri di Blok S46/47. 
(iii)    Bekalan makanan kepada pelajar yang menjalani proses kuarantin diri di Blok S46/47 akan diteruskan seperti mana kaedah sedia ada.
(iv)    Pelajar yang berada di Pusat Isolasi adalah tidak dibenarkan keluar dan perlu menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan (food delivery).
(v)     Bagi mana-mana pelajar yang memohon untuk keluar atas sebab-sebab kecemasan boleh merujuk kepada Pengetua Kolej Kediaman masing-masing. Permohonan yang telah disokong perlu dimajukan untuk semakan Pengarah Pusat Kesihatan bagi kes berkaitan kesihatan atau Pengarah Keselamatan bagi kes tertentu. 
(vi)       Pelajar adalah DIBENARKAN beriadah secara individu di dalam kampus dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 
(vii)     Sebarang bentuk aktiviti dan perbincangan kumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN dan hendaklah dijalankan secara dalam talian. 
(viii)    Pelajar yang menginap di luar kampus hanya dibenarkan bergerak berdasarkan SOP PKP 3.0 MKN dan tidak dibenarkan masuk ke kampus UTM. 

4.2       Pengoperasian Fasiliti dan Kemudahan Dalam Kampus

(i)     Perkhidmatan kafeteria dan kedai runcit dalam kampus akan DIBUKA bermula 4 Jun 2021 dari jam 8.00 pagi sehingga jam 8.00 malam SAHAJA.  
(ii)    Bagi perkhidmatan kafeteria, penyediaan makanan adalah secara pandu lalu atau bungkus (pack food) SAHAJA. 
(iii)  Perkhidmatan penghantaran makanan (food delivery) dan penghantaran barang (panda mart) masih boleh diteruskan sehingga jam 8.00 malam sahaja. 
(iv)     Bagi pelajar berkeluarga yang ingin mendapatkan bekalan bahan mentah/ gas memasak / keperluan keluarga juga boleh menggunakan perkhidmatan secara dalam talian atau dari mana-mana kedai runcit dalam kampus. 
(v)   Pelajar yang memerlukan minyak kenderaan (petrol) boleh menggunakan perkhidmatan bekalan minyak yang disediakan secara subsidi oleh pihak Universiti dengan had 2liter (motosikal) dan 10 liter (kereta/ van). Lokasi bekalan minyak kenderaan adalah di Bengkel UTM Fleet, Blok F53A. 
(vi)     Perkhidmatan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dibuka semula dan Klinik Bergerak (mobile clinic) PKU adalah dihentikan. 
(vii)   Bagi ibu bapa/waris yang ingin menghantar makanan/barang kepada pelajar, perlu menggunakan perkhidmatan penghantaran (delivery).  

5.     Pihak universiti amat mengharapkan kerjasama dan keprihatinan seluruh warga universiti bagi bersama-sama memahami keadaan semasa dan juga terus menyokong segala usaha universiti dalam memastikan kawasan universiti kembali menjadi kawasan zon hijau dan selamat didiami. Teruskan kekal berwaspada, sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga serta sentiasa patuh kepada SOP yang telah digariskan oleh MKN. Dengan semangat #cekalbersamatakwa, semoga kita terus berdoa agar keadaan akan terus terkawal dan kembali normal.

Pengerusi
Pasukan Emergency Response Team (ERT)
Universiti Teknologi Malaysia
UTM Johor Bahru
3 Jun 2021.

Explore More