April 19, 2024

Search
Close this search box.

Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi Malaysia, UTM Kampus Johor Bahru telah menyerlahkan keprihatinan Fakulti Sains untuk bersama menyumbang.

Berikutan itu, Fakulti Sains telah menyediakan pensanitasi tangan untuk kegunaan hampir 2300 pelajar yang berada di dalam kampus. Sumbangan tersebut turut diberikan kepada barisan hadapan yang bertugas semasa PKPD UTM.

Menurut Dekan Fakulti Sains, Prof. ChM. Dr. Abdull Rahim Hj. Mohd Yusoff, inisiatif ini merupakan hasil Tabung Endowmen yang telah disumbangkan oleh warga Fakulti bagi menandakan keprihatinan mereka dengan keadaan semasa. Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama membantu dalam menjayakan penghasilan pensanitasi tangan ini.

Penyerahan sumbangan pensanitasi tangan tersebut berlangsung dalam satu perjumpaan ringkas yang dihadiri oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Turut hadir bersama bagi mewakili Fakulti Sains adalah PM Dr. Zaiton Abdul Majid, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan dan Alumni).

Inisiatif penghasilan pensanitasi tangan ini juga merupakan satu kelangsungan usaha Fakulti yang telah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan PKP 1.0 dengan kerjasama Pejabat Endowmen UTM. Fakulti Sains turut mendoakan kesejahteraan semua warga universiti dan mengharapkan semua warga kampus terus #CekalBersamaTakwa.

Disediakan Oleh: Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar dan Hjh. Nor Azlinda Abu Bakar

Explore More