November 17, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Terpilih untuk mengetuai Majllis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Yang Di-Pertua (YDP) bukan kebanggaan tetapi sebenarnya tanggungjawab berat yang perlu digalas demi kebaikan semua.

Bagi YDP MPP Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2020/2021, Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah melahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas pelantikan sebagai ketua kepada badan yang mewakili pelajar-pelajar UTM. .

Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah (kanan) semasa sesi suai kenal bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail

“Apabila saya memenangi undian tertinggi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi kali ini, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada para pensyarah, barisan staf, rakan-rakan dan seterusnya kesemua mahasiswa UTM kerana memberikan kepercayaan mereka kepada saya.

Setelah kabinet disusun dan aspek kredibiliti disemak dan dibincangkan bersama, saya sekali lagi diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan seperjuangan dan barisan staf UTM untuk dinaikkan sebagai Yang di-Pertua buat MPP pada sesi kali ini,” katanya lagi yang juga mesra disapa Nazirah ini.

Nazirah, 21 merupakan pelajar ijazah sarjana muda Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera elektrik kuasa (power engineer).

Beliau juga gemar melakukan aktiviti-aktiviti yang mencabar kebolehan dan kemampuan fizikal serta tahap IQ di samping meluaskan pemandangan dan meningkatkan daya tahap pemikiran seperti penglibatan dalam robotik, ‘part-time modeling’, melaksanakan kerja-kerja yang mempunyai nilai kebajikan dan kemasyarakatan serta melancong sama ada di dalam mahupun luar negara.

Nazirah berkata cabaran yang bakal dilaluinya sebagai YDP pada sesi kali ini adalah untuk menjadi pemimpin cemerlang, adil dan penuh integriti buat barisan pasukan MPP agar sinergi ini akan membawa kebaikan kepada seluruh mahasiswa UTM selaras dengan nilai teras UTM iaitu integriti, sinergi, kecemerlangan dan kelestarian (ISES).

“Bagi saya, jawatan ini adalah amanah dan bukannya kayu pengukur bahawa sayalah yang terbaik berbanding mereka yang lain.

Maka saya jadikan amanah ini sebagai satu dorongan buat saya untuk sentiasa berlaku adil dan saksama di samping membawa para pelajar ke suatu aras kegemilangan yang baharu,” katanya lagi.

Nazirah ketika terlibat dalam satu program khidmat masyarakat anjuran UTM.

Mengulas mengenai cabaran berkempen, Nazirah berkata proses kempen secara dalam talian adalah sebuah pengalaman yang agak mencabar.

“Sejujurnya, proses berkempen secara atas talian adalah merupakan sebuah pengalaman yang agak mencabar dalam masa seluruh komuniti mahasiswa berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang memaksa mereka untuk berjimat dalam penggunaan data internet bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Saya juga merasakan pengalaman menarik dimana untuk pertama kalinya dalam sejarah UTM, calon PRK dikehendaki untuk menyampaikan manifesto masing-masing secara atas talian yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya lagi.

Ditanya mengenai sasaran dan harapan setelah terpilih sebagai YDP, Nazirah berkata sememangnya tugas hakiki MPP itu sendiri adalah untuk menjaga kebajikan pelajar dan juga mewakili suara mereka dalam urusan bersama pihak atasan.

“Sebagai YDP, saya perlu memastikan bahawa semua mahasiswa di bawah pimpinan saya terjaga kebajikan mereka.

Saya percaya bahawa sebuah pasukan yang kuat akan membawa kepada era kepimpinan terbilang.

Dengan kekuatan itu insyaallah lebih ramai pemimpin berkaliber dan graduan berkualiti dapat dilahirkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai isu proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dalam talian yang aktif dipraktikkan semenjak pandemik COVID-19 ini, Nazirah secara jujur mengakui bahawa perkara ini sememangnya mencabar terutamanya buat golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Menyedari akan perkara ini, UTM telahpun memberi kelonggaran dan membenarkan pelajar untuk kembali ke kampus agar proses PnP ini berjalan lebih lancar bagi mereka.

Era baharu yang menggunakan pembelajaran secara atas talian saya rasakan telahpun membawa kesan kepada kebanyakan pelajar terutamanya dari segi tahap penglibatan mereka di dalam kelas,” katanya lagi.

Nazirah berkata bagi menimbulkan minat dalam pembelajaran yang dijalankan dengan kaedah PnP adalah penting bagi para pelajar untuk mencuba sendiri konsep ini melalui kaedah penyertaan pembelajaran di dalam bilik kuliah.

Kebanyakan daripada mereka hilang fokus kerana kurang memahami dengan apa yang diajarkan dalam sesi kuliah.

“Saya rasakan apabila pelajar dapat faham dengan apa yang diajarkan dengan baik maka mereka akan lebih berminat untuk menghadiri sesi kuliah secara dalam talian,” katanya lagi.

Mengulas tentang peranan beliau sebagai ‘influencer’, beliau menyatakan kelebihan tersebut amat berguna kerana lebih dekat dengan golongan muda dan mungkin, beliau lebih faham akan situasi dan perasaan mereka terhadap sesuatu perkara dan penerimaannya golongan ini terhada penyampaian beliau adalah lebih terbuka.

“Saya tidak merasakan bahawa diri saya ini adalah merupakan seorang influencer, mungkin hanya seseorang yang orang kenal sahaja.

Niat saya adalah untuk masyarakat agar jangan sesekali mengalah hanya kerana cubaan kali pertama itu tidak menjadi seperti yang diharapkan, belajarlah dari kesilapan dan teruskan perjuangan kita.

Pendapat saya juga, tugas sebagai seseorang yang dikenali, adalah turut untuk membawa generasi saya bersama-sama dalam sebuah perjalanan penambahbaikan diri demi menjadikan masyarakat, negara, dan seterusnya dunia sebuah tempat yang lebih aman, selamat, dan adil,” kata beliau.

Menurut beliau, dengan jadual harian yang ketat sebagai pelajar, YDP MPP dan influencer, pembahagian masa pula adalah amat penting oleh itu penjadualan yang rapi dan nilai disiplin yang tinggi adalah perlu dalam memastikan tugas-tugas dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Bagi saya, perlu tahu dan jelas akan tugas yang lebih penting dan mendahului perkara-perkara lain.

Pengorbanan dari segi masa memang saya akui telah banyak saya lakukan dalam perjalanan untuk memperbaharui kehidupan diri, sebagai contoh di kolej, pada sebelah pagi sehingga petang, kebiasaannya, pengikutan jadual akademik dan sesi kuliah serta mesyuarat akan saya hadiri manakala pada sebelah malam pula, tugasan luar waktu akademik dan mesyuarat bersama pasukan saya lakukan.

Untuk jam12 malam ke atas adalah untuk tugasan luar yang saya minat untuk diceburi seperti robotik ataupun pekerjaan sampingan yang melibatkan persiapan dalam penggunaan media sosial akan saya laksanakan,” akhiri beliau.

Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah

Explore More