JOHOR BAHRU, 24 Mei – Muhammad Mustaqin Mohd Roslan, mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah salah seorang daripada pesakit COVID-19 yang ‘terselamat’ selepas dijangkiti wabak itu pada pertengahan bulan ini.
Mahasiswa Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia itu adalah antara 252,623 pesakit telah sembuh daripada wabak COVID-19 di negara ini yang telah meragut 1,062 nyawa di Malaysia (hingga 22 Februari).
Berkongsi pengalamannya selama 10 hari berada di Pusat Kuarantin Rawatan COVID (PKRC) Pasir Gudang, Muhammad Mustaqin mengingatkan dirinya dan masyarakat agar tidak mengambil mudah pandemik yang ‘menyerang’ seluruh dunia ketika ini.
Bimbang mendapat komplikasi yang lebih serius sebaik disahkan positif, Mustaqin akur dengan setiap arahan yang diberikan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan beliau kembali sembuh.
“Detik cemas saya bermula pada 12 Mei 2021 selepas disahkan positif oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai diikuti oleh pergerakan menuju ke PKRC Pasir Gudang.
“Dua hari sebelum itu saya telah menjalani ujian swap setelah disenaraikan sebagai kontak rapat kepada salah seorang rakan mahasiswa yang juga tinggal di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO),” katanya.
Menurutnya lagi, tinggal di PKRC walaupun dihantui dengan debaran tetapi sedikit lega kerana dapat bergaul dengan rakan-rakan dari luar UTM dan berkongsi pengalaman kehidupan masing-masing.
“Selama 10 hari tinggal di PKRC kami bergaul, makan dan juga solat bersama. Saat yang paling saya ingati adalah bertakbir raya bersama-sama dengan penghuni lain di malam Hari Raya Aidilfitri.
“Di dalam pusat kuarantin ini seramai 800 hingga 900 individu yang disahkan positif COVID-19 berasal dari seluruh negeri Johor. Mereka ini terdiri dari pelbagai usia dari semuda tiga hingga 60 tahun,” katanya mengimbau kenangan sewaktu di PKRC Pasir Gudang.
Ditanya lanjut mengenai perasaannya di sepanjang tempoh kuarantin, Mustaqin berkata beliau tenang sepanjang menjalani proses isolasi di PKRC Pasir Gudang di samping kesempatan yang ada membolehkan dirinya membuat dan menerima panggilan telefon yang memberikan sokongan moral dari keluarga dan rakan-rakan.
“Wabak ini bukannya mainan sebaliknya nyawa jadi taruhan. Ikutilah segala prosedur Operasi Standard (SoP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Amalkan penjarakan sosial dan elakkan ke tempat yang sesak, sempit serta sentiasa pakai pelitup muka apabila keluar,” pesannya lagi yang baru sahaja dibebaskan dari PKRC 23 Mei yang lalu.
Pengalaman dijangkiti virus berbahaya ini juga dikongsi oleh seorang lagi kakitangan UTM, Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Arman Md. Yasin yang kini sedang sedang menjalani rawatan di PKRC sama.
Beliau disahkan sebagai positif dan dimasukkan di pusat kuarantin itu mulai 17 Mei lepas dan akan dibebaskan pada 27 Mei ini sekiranya tidak menunjukkan apa-apa komplikasi kesihatan yang serius.
Arman yang dihubungi melalui telefon berkata setiap individu yang disahkan sebagai positif akan terus dihantar ke PKRC negeri masing-masing untuk menjalani kuarantin selama 10 hari.
“Sepanjang menjalani proses kuarantin pesakit akan dipantau. Jika menghidapi komplikasi kesihatan seperti demam yang tinggi dan juga sesak nafas pesakit akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Jika tidak menunjukkan apa-apa komplikasi sehingga hari ke-10, pesakit disahkan sebagai sembuh, dipotong gelang tangan merah dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya lagi.
Arman juga menyatakan kesyukurannya apabila Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang memasuki negara ini secara berperingkat bermula Februari lalu.
“Selain pematuhan SoP, vaksinasi juga penting dalam usaha membasmi virus berbahaya ini dari terus menular. Tidak sabar rasanya untuk menerima suntikan vaksin berkenaan namun saya tahu ada jadual yang perlu dipatuhi untuk menerima suntikan itu.
“Apa yang saya mampu lakukan sebelum menerima vaksin adalah mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah serta menggunakan pencuci tangan.,” katanya.