April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Mei – Empat nilai murni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES) seharusnya diterima oleh semua warga yang bekerja ataupun menuntut di universiti itu.

Ini bagi menghasilkan sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul, berdaya saing dan juga bergerak selaras dengan perubahan zaman.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata keempat-empat nilai ini bukan sahaja perlu diterapkan malah perlu diinstitusikan supaya kesemua nilai ini dapat dirasai dan dihayati oleh semua staf.

“Jumlah keseluruhan staf UTM dari kategori akademik dan bukan akademik hampir mencecah lima ribu orang.  Dengan jumlah seramai ini, adalah penting untuk nilai ISES ini diinstitusikan supaya ianya dapat difahami oleh staf dari pelbagai kategori perkhidmatan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Program Bual Bicara ISES : Hilangnya Nilai Murni dalam Organisasi. Peranan Amalan Nilai Teras anjuran UTM Kuala Lumpur yang dikendalikan secara dalam talian oleh  moderator program, Datuk Dr. Norhafizah Musa, pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Mengulas lanjut berkenaan dengan nilai Integriti, Dr Ahmad Fauzi berkata nilai ini tidak hanya terhad kepada tidak amal atau tolak rasuah malah sebenarnya lebih dari itu.

“Apabila kita melaksanakan Pelan Pemupukan Nilai Organisasi, ia seharusnya boleh diukur, dipupuk dan juga diperkasakan.

“Sebagaimana yang disebutkan dalam surah As-Saf ayat dua hingga tiga, diperkatakan bahawa ‘Wahai orang-orang yang beriman, Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya,” katanya sambil memetik ayat dari surah itu.

Menceritakan mengenai ringkasan ayat ini, Prof Fauzi menjelaskan bahawa amat berat bagi seseorang beriman itu untuk tidak mengotakan apa yang dicakapkannya.

“Dalam ayat ini jelas mengatakan bahawa kalau tidak menunaikan janji itu ditakrifkan sebagai munafik. 

“Elakkan dari cakap tidak serupa bikin. Kita tidak mahu amalan ini berlaku di UTM.  Maka dengan ini bolehlah kita anggapkan ayat ini adalah intipati kepada nilai murni integriti ini,” katanya lagi.

Ditanya mengenai nilai ISES yang menjadi teras UTM, Prof Fauzi berkata nilai yang dimaksudkan adalah Sinergi kerana ia terhasil dari kerja berpasukan, ikhlas serta amanah yang sememangnya menjadi gaya kerja setiap warganya.

“Apabila sudah bekerjasama sebagai satu pasukan, maka kita akan dapat menangani segala masalah dan juga rintangan sekaligus melahirkan kecemerlangan sebab dapat lahirkan sesuatu yang unik dan juga progresif hasil dari kerjasama ini terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi elemen terakhir iaitu kelestarian (sustainability) akan hadir apabila telah ada kesemuanya.

“Contoh elemen kelestarian ini adalah pada produk atau polisi yang lahir dari proses penyelidikan yang dijayakan penyeldik dari pelbagai latarbelakang.

“Dalam menjayakan produk ataupun polisi yang kita hasilkan melalui kaedah penyelidikan ini sudah tentulah kita tidak akan melancarkan produk itu untuk tempoh singkat sebaliknya berusaha untuk jadikan ia sebagai legasi yang boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya lagi.

Kelestarian adalah kesinambungan dan sememangnya diperlukan oleh sesebuah negara itu untuk komuniti dan juga bagi generasi masa hadapan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail sedang memberikan syarahan secara dalam talian dari pejabatnya di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Moderator program, Datuk Dr Norhafizah Musa mengendalikan program secara dalam talian dari UTM Kuala Lumpur.

Explore More