November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mei –Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor telah berkenan meluangkan masa dalam Sesi Sembang Santai bersama pelajar yang terkesan sepanjang pelaksanaan kuarantin dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sesi tersebut telah berjaya meniup semangat dan mengubati duka di hati pelajar yang telah sekian lama berjauhan dengan keluarga dan ditambah pula dengan pelaksanaan PKPD.

Baginda Tuanku dalam sesi tersebut telah bersuai mesra dengan wakil pelajar dan tekun mendengar pelbagai kisah pelajar yang turut berkongsi pengalaman, melontarkan cadangan serta meluahkan perasaan dan permasalahan masing-masing.

Rata-rata pelajar yang menyertai sesi tersebut meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan DYMM Tuanku Permaisuri.

Melalui sesi tersebut juga Baginda Tuanku mencadangkan beberapa pertandingan persahabatan untuk memberikan sedikit keceriaan kepada mahasiswa universiti.

Pertandingan ini adalah sebagai satu inisiatif untuk mengurangkan tekanan warga kampus UTM Johor Bahru yang mula menjalani tempoh kuarantin ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 21 Mei hingga 3 Jun 2021.

Baginda bertitah demikian ketika menyertai sesi Sembang Santai Secara Dalam Talian dengan mahasiwa di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Kolej Datin Seri Endon (KDSE) petang tadi.

Turut hadir semasa sesi ialah Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Shahibuddin, pengetua dan felo kolej serta pegawai universiti.

DYMM Tuanku Permaisuri bertitah antara aktiviti yang dicadangkan termasuk pertandingan seni lukis, penulisan puisi serta penghasilan video ringkas yang akan dianjurkan UTM dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dalam masa terdekat.

DYMM Tuanku Permaisuri juga turut bertitah mengingatkan semua pihak untuk terus berwaspada, menjaga disiplin diri serta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.

“Dengan peningkatan kes yang mendadak serta kemunculan varian-varian baharu yang lebih dahsyat ini menuntut semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dalam memainkan peranan memutuskan rangkaian jangkitan.

“Tiada guna kita menyalahkan sesiapa tetapi alpa dalam pematuhan SOP.

Hanya sikap berdisiplin dan berjaga-jaga yang berterusan akan meningkatkan peluang kita menurunkan jumlah pesakit dalam jangka masa panjang,” titah Baginda.

Menjunjung kasih Tuanku atas keprihatinan terhadap pelajar dan warga UTM.

DYMM Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, berkomunikasi dengan warga kerja dan mahasiswa UTM susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus Johor Bahru bermula 21 Mei hingga 3 Jun 2021.
DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Explore More