Disember 21, 2024

ViCe 3.0 kembali catat kegemilangan

Disediakan oleh : Yusril Ehza Mahendra

JOHOR BAHRU, 25 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kolaborasi Institut Kejuruteraan dan Teknologi atau IET telah menganjurkan Program Virtual Capstone Experience (ViCE 3.0).

Program yang merupakan kesinambungan daripada ViCE 2020 ini telah mendapat penyertaan seramai 60 orang mahasiswa dari lima buah universiti antarabangsa dan tempatan.

Pengarah ViCE 3.0, Yusril Ehza Mahendra Sappe berkata penyertaan untuk ViCE 3.0 ini datang dari tiga universiti tempatan manakala institusi pengajian tinggi antarabangsa diwakili oleh Ritsumeikan University (RU) dari Jepun dan juga Universitas Riau, Indonesia (UNRI).

“Universiti tempatan pula diwakili oleh UTM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan juga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan jumlah peserta seramai 41 orang.

“Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat setempat di samping meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai Internet of Things atau IoT berikutan Revolusi Industri 4.0,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kolaborasi antara tiga buah negara ini membantu para pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar sepanjang program dan bertukar pengetahuan mengenai pengurusan projek secara dalam talian.

“Program yang dijalankan dalam talian sepenuhnya ini dipimpin oleh wakil dari setiap universiti sebagai penasihat program yang dibantu pelajar dari setiap univestiti yang menyertai.

“Antara tenaga pengajar tempatan yang terlibat adalah terdiri dari pensyarah UTM iaitu Dr Rashidah Arsat, Dr. Zaharah Johari, Dr Suhana Mohamed Sultan, Prof. Madya. Dr. Nurul Mu’azzah Abdul Latiff dan Prof. Madya. Dr. Norhudah Seman dari Malaysia sementara RU pula diwakili oleh Prof. Shizuyo Asai dan Dr. Yusnita Rahayu pula mewakili Indonesia,” katanya.

Yusril berkata selain dari IET, program ini juga mendapat sokongan dari Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka yang membantu dari segi mendapatkan input mengenai masalah tempatan yang dihadapi komuniti di tempat masing-masing.

“Menerusi maklumat yang diberikan, beberapa masalah dan isu dapat dikenalpasti anataranya adalah masalah kecekapan lampu isyarat di Melaka dan masalah sungai di Johor. Peserta diberikan tugas untuk mengatasi masalah-masalah ini dengan menghasilkan projek yang inovatif.

“Dengan mengadaptasi kursus Projek Capstone yang wajib diambil pelajar tahun akhir Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), program ini berjaya menghasilkan lapan cadangan reka bentuk konsep yang penuh inovasi,” katanya lagi.

Antara projek yang dihasilkan adalah Smart Floating River Monitoring Device, Zealous Trashing, Smart River Controlling System, Futuristic Traffic Light Apps, Audible Traffic Light, Waste Management System, Smart Emergency Traffic Light Control System and Smart Monitoring River Water Level System.

ViCE 3.0 juga menjalinkan kerjasama dengan MIMOS Berhad, NanoMalaysia Berhad dan Industrial Design Club UTMKL dan melaui kerjasama ini, para pelajar berupaya mendapatkan maklumat yang berguna menerusi beberapa seminar dan bengkel yang dilaksanakan selama lapan hari.


Peserta ViCE 3.0 sedang membuat pembentangan projek mereka kepada para penel yang terdiri dari pensyarah UTM, UNRI dan RU.

Majlis penutup yang di rasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin

Explore More