April 25, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh : Norazlina binti Md Zaid

KOTA TINGGI, 10 April – Jabatan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) telah menjayakan program ‘Santuni Sekolahku, Jom Kembali Ke Sekolah’ di Kota Tinggi, Johor.

Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj Shahuddin dalam ucapannya berkata program ini merupakan kesinambungan dari program “Santuni Sekolahku, Menabur Bakti” yang telah dilaksanakan pada bulan Februari 2020.

“Kerjasama ini mula terjalin pada awal tahun lepas di mana pada waktu itu iaitu pada 23 Februari 2020, Jabatan Pendaftar UTM bersama-sama dengan rakan-rakan Sinerginya telah menerima Sekolah Kebangsaan Mawai ini sebagai Sekolah Angkat,” katanya lagi.

Abdul Razib berkata demikian sewaktu merasmikan Program University Social Responsibility (USR) “Jom Kembali Ke Sekolah” dan ‘UTM Bersamamu’ di Dewan Raya Kampung Baru Mawai, Kota Tinggi, Johor.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Aminuddin Ruskam, Penolong Pengarah Pusat Islam UTM, Dr. Naemah Hamzah dan Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERTISAS) UTM, Azri Hohad.

Seramai 50 orang pelajar yang dikenalpasti telah menerima bantuan masing-masing yang berupa barang kelengkapan sekolah iaitu pakaian seragam, set alat tulis dan beg sekolah.

Selain pelajar sekolah, lima buah keluarga pelajar ini yang tergolong dari golongan B40 juga menerima bantuan masing-masing dari pihak penganjur.

“Program seumpama ini juga adalah selaras dengan objektif untuk menyemai nilai-nilai murni melalui pendampingan sosial antara Universiti dengan pihak sekolah dan komuniti kampung Mawai.

Saya percaya melalui program seperti ini, masyarakat terutamanya keluarga pelajar dari golongan B40 berpeluang memperolehi manfaat samada secara langsung atau tidak langsung daripada program ini,” katanya lagi.

Beliau juga berharap agar program seperti ini dapat diperluaskan lagi agar lebih banyak golongan sasar memperolehi manfaat yang dibawakan oleh Universiti Teknologi Malaysia.

Program University Social Responsibility (USR) ini telah dijayakan dengan sokongan dan peruntukan daripada Pusat Islam dan PERTISAS UTM (Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas)  serta sumbangan dari syarikat  iaitu Alisya Zaralisya Resources dan Aliff Razak Group Properties.

Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj Shahuddin (tiga kanan) menyerahkan bantuan persekolahan kepada salah seorang penerima dari keluarga kurang berkemampuan (B40) di Dewan Raya Kampung Baru Mawai, Kota Tinggi, Johor.
Urus setia merakamkan gambar kenangan

Explore More