April 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 April – Selepas inisiatif penjualan nombor plat kenderaan ‘UTM’ yang mendapat sambutan hangat sebelum ini, kini warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh merebut peluang untuk membeli rumah sambil menyumbang kepada tabung Endowmen UTM.

Promosi terbaharu tersebut merupakan usahasama UTM bersama IOI Properties melalui sebuah pelancaran Promosi Jualan Hartanah IOI Properties kepada kakitangan universiti ini dan juga ahli keluarga, hari ini.

Melalui promosi ini, warga UTM berpeluang mendapat diskaun harga yang sangat menarik sehingga 25% dan menikmati bayaran guaman secara percuma, dan tempahan sehingga 17 April berpeluang mendapat kabinet dapur percuma.

Antara unit kediaman yang boleh dipilih ialah unit apartment iaitu D’Summit dan The Platino dan juga rumah teres & Semi-D iaitu Oleander, Florencia dan Viscosa.

Promosi ini adalah lanjutan dari persetujuan bersama yang telah dicapai melalui Memorandum Persetujuan (MoA) yang telah ditandatangani antara UTM melalui Unit Endowmen dengan IOI Properties melalui Wealthy Growth Sdn Bhd dan Trilink Pyramid Sdn Bhd.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata bahawa staf, pelajar, alumni dan pesara UTM serta saudara-mara mereka akan mendapat diskaun harga yang sangat menarik dan daripada jumlah harga hartanah yang dibeli, 1% akan disalurkan ke Tabung Endowmen UTM.

“Kerjasama ini memberikan tiga makna penting kepada UTM iaitu memperluaskan kerjasama dengan pihak industri, merupakan kebajikan kepada warga kerja universiti ini dan juga keluarga mereka yang belum memiliki rumah kediaman sendiri untuk membeli rumah kediaman dengan bayaran bulanan yang rendah.

Melalui promosi ini juga, kebajikan mahasiswa UTM dari keluarga kurang berkemampuan (B40) juga dapat dipertingkatkan melalui bantuan-bantuan yang bakal diberikan di mana pihak IOI Properties telah bersetuju untuk memberi sedikit sumbangan ke Tabung Endowmen UTM atas pembelian setiap unit kediaman oleh warga dan juga keluarga mereka,” katanya.

Datuk Fauzi pada peringkat akhir ucapannya juga menyeru agar warga kerja universiti ini yang berkemampuan serta memerlukan rumah kediaman untuk merebut peluang yang ditawarkan dalam promosi ini sekaligus membantu penjanaan dana untuk Tabung Endowmen UTM.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar IOI Properties Johor, Tuan Haji Nor Izuddin Md Kassim dalam ucapannya pula telah menzahirkan rasa syukur kerana IOI Properties dapat menjalin kerjasama dengan pihak UTM.

“Bagi pihak syarikat, saya ingin melahirkan rasa syukur kerana dapat membantu warga kerja UTM dalam memiliki rumah kediaman dengan diskaun harga yang paling menarik dan rendah.

Promosi yang melibatkan unit kediaman di D’Summit dan The Platino adalah peringkat permulaan dan percubaan. 

Jika promosi ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memberangsangkan, pihak IOI Properties tiada masalah untuk memperkembangkan promosi serupa ke projek lain,” katanya lagi.

Tambah beliau, lokasi kediaman yang strategik memberi kelebihan kepada pembeli sama ada sebagai pelaburan atau kediaman tempat tinggal dan pembeli tidak akan rugi sekiranya memiliki hartanah tersebut.

Turut hadir adalah Pengerusi Bahagian Pemajuan UTM, Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah dan Pengarah Endowmen, Bahagian Pemajuan UTM, Prof. Madya Dr Yusof Boon.

Warga UTM yang berminat boleh menghubungi Pejabat Pemasaran IOI di talian 07-5590101/07-2320101 atau Unit Endowmen di 07-5531024.

Promosi adalah untuk tempoh setahun atau sehingga semua unit telah habis dijual.

Dua kiri, Pengerusi Bahagian Pemajuan UTM, Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah, Pengarah Endowmen, Bahagian Pemajuan UTM, Prof. Madya Dr Yusof Boon, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Penolong Pengurus Besar IOI Properties Johor, Tuan Haji Nor Izuddin Md Kassim dalam majlis pelancaran Promosi Jualan Hartanah D’Summit dan The Platino di Dewan Banquat, Bangunan Sultan Ismail pagi tadi.

Explore More